Tuesday, June 18, 2024
HomeBERITAIndahnya budaya, halusnya seni, Pulau Misa diangkat sebagai pusat kebudayaan Melayu

Indahnya budaya, halusnya seni, Pulau Misa diangkat sebagai pusat kebudayaan Melayu

Meneruskan penjelajahan, kali ini kami ke Pulau Misa Melayu, Kampung Teluk Kepayang, Bota Kiri, iaitu di daerah Perak Tengah.

Apa menariknya disini?
Moh kami ceritakan.

Pulau Misa Melayu adalah sebuah perkampungan kebudayaan negeri Perak.

Penghuninya melakukan aktiviti seharian seperti berlatih silat, bermain wau, berlatih tarian dendang anak,menjala ikan dan sebagainya.

Lambang keistimewaan Pulau Misa Melayu ini apabila mereka masih mengekalkan adat dan tradisi Melayu lama seperti cara berpakaian malah cara hidup seperti orang dulu-dulu.

 

Perjalanan untuk sampai ke destinasi, kami melalui jalan berbatu dan apabila semakin hampir sampai ke lokasi semakin mendalam pula ‘feel’ kampung dapat dirasai semua.

Ditambah pula dengan dekorasi rumah tradisional asli dengan rekabentuk serta ukiran Melayu lama menghiasi dinding kediaman disini.

Di tengah-tengah kawasan pula, terdapat satu dewan yang dipanggil Balairong Seri yang mampu menempatkan sehingga 500 penonton.

Balairong Seri adalah sebuah dewan bagi menjalani aktiviti-aktiviti seharian seperti pembelajaran muzik, nyanyian,tarian, seni mempertahankan diri yang diajar oleh pekerja amal yang arif tentang bidang berkenaan.

Bakat anak-anak muda disini tidak dipersiakan. Kumpulan budaya ini turut dijemput melakukan persembahan bagi majlis perkahwinan, agensi-agensi kerajaan mahupun swasta.

 

Menurut Yang DiPertua perkampungan warisan budaya Pulau Misa, Osman Abdul Rahman, perkampungan warisan dan budaya Pulau Misa yang telah dibina kira-kira 25 tahun lalu.

Dengarnya YB kawasan juga ada datang melawat di perkampungan ini. Siapakah gerangannya?

Moh kita dekati ADUN Bota merangkap Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia iaitu YB Khairul Shahril Mohamed.

Dalam temubual bersama wartawan di lokasi, YB Khairul Shahril berkata pihaknya telah merancang dan melakukan gerak kerja bagi membangunkan Perkampungan Warisan Budaya Pulau Misa dalam usaha menjadikan lokasi ini sebagai destinasi pelancongan utama di daerah Perak Tengah.

Selain itu, beliau turut akan menambah baik  kemudahan lain khusus di dun Bota seperti infrastruktur jalan, liputan internet yang lebih meluas bagi menarik minat pelancong dalam dan luar negara ke Bota.

Kesenian Malam Kebudayaan Melayu, Pulau Misa Melayu 

Pada hari yang sama, kami dijemput sama menonton persembahan Dendang Anak.

Sudah tentu pembaca mahu tahu apakah itu Dendang Anak.

Dendang Anak adalah sebuah kumpulan yang membawa pelbagai jenis konsep atau genre muzik berentak Nusantara yang menggabungkan irama tradisi.

Penyusunan lagu pula mempunyai sentuhan yang menggambarkan kemelayuan global seperti zapin, dikir barat, rentak samaniyah, inang, gamelan, joget, pendeta dan banyak lagi.

Kami teruskan dengan intipati acara istimewa Malam Kebudayaan Dendang Anak ya.

Dimulakan dengan acara penuh santun dan adab, sekumpulan pemuda mengiringi tetamu kehormat dengan bacaan merdu selawat dan salam junjungan besar ke atas Nabi Muhammad SAW.

Banyak aktiviti mengikut acuan budaya Melayu dipersembahkan antaranya nyanyian secara berkumpulan, persembahan seni tarian tradisional Melayu, seni mempertahankan diri dalam bentuk tarian juga drama muzikal tradisional Megat Komeng, tarian penuh gemalai lemak manis serta diselitkan pula dengan protokol majlis penuh beradab.

 

Kami juga diberitahu, lazimnya program Dendang Anak dihadiri lebih 2,000 penonton tempatan serta masyarakat dari seluruh pelusuk negara.

Tetapi memandangkan negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, serta bagi mematuhi SOP yang ditetapkan, pihak penganjur menghadkan jumlah kehadiran penonton pada persembahan kali ini.

Ternyata perkampungan warisan budaya Pulau Misa Melayu ini mempunyai kelas yang cukup tersendiri.

Sungguh luas budaya Melayu kita…
Beruntungnya Melayu Islam di Malaysia, masih bebas mengamalkan adat dan budaya mengikut kaum dan bangsa.
Syukur Alhamdulillah…

Bangganya teman kerana masih ada golongan yang berusaha mengekalkan adat dan budaya Melayu agar tidak dipandang sepi.

Semoga usaha murni ini akan terus mendapat sokongan pihak berwajib serta masyarakat umum.

Dialunkan rasa dipanjat yang esa

Menterjemah pujian kita berbudaya

Memahat hati memuja yang dicinta

MOGA MELAYU BERTAHTA SELAMANYA…

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments