Tuesday, July 16, 2024
HomeBERITAIbrahim Ali kritik tindakan kerajaan Kelantan beli kereta mewah sedangkan rakyat dihimpit...

Ibrahim Ali kritik tindakan kerajaan Kelantan beli kereta mewah sedangkan rakyat dihimpit kemiskinan

Ibrahim Ali mengkritik tindakan kerajaan PAS membeli kereta mewah bagi kegunaan Menteri Besar dan Exco sedangkan rakyat negeri itu masih lagi dihimpit kemiskinan.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Dato’ Paduka Ibrahim Ali berkata, PAS sebagai parti yang berbicara tentang Islam sepatutnya mengurus tadbir secara Islam seperti mana dilaungkan mereka sebelum ini.

Beliau yang juga anak jati Kelantan terkejut kerana kerajaan negeri sanggup menukar kereta mewah sehingga mencecah hampir RM 9 juta.

“Saya terkejut bukan kerana mereka beli kereta, tetapi saya terkejut mereka beli Mercedes dalam keadaan Kelantan masih lagi miskin.

“Tak salah tukar kereta menteri besar, tapi kalau masih boleh berjalan apa salahnya, kalau kita benar-benar pemimpin Islam.

“Tak boleh ke beli kereta berharga sekitar RM200,000 tak payah besar-besar sampai RM600,000. Besar sangatkan Kota Bharu?,” katanya.

Pada 24 Jan lalu Kerajaan Negeri Kelantan mengakui membeli 14 kereta mewah Mercedes Benz untuk kenderaan rasmi pimpinan kerajaan negeri termasuk Menteri Besar dan EXCO.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata pembelian kenderaan itu dilakukan sejak 2018 hingga tahun lalu dengan yang terakhir untuk beliau sendiri dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Bagaimanapun katanya, pembelian kenderaan rasmi itu tiada kaitan langsung dengan peruntukan khas sebanyak RM400 juta oleh Kerajaan Pusat, sebaliknya menggunakan duit kerajaan negeri.

Mohd Amar berkata, beliau sendiri tidak mengetahui harga Mercedes Benz memandangkan ia diuruskan bahagian kewangan.

“Harga tidak menjadi soal kerana kerajaan mendapat diskaun hampir 50 peratus kerana tidak dikenakan cukai. Saya tidak tahu harga sebenar namun ada diskaun.

“Jadi tidak timbul isu kita menggunakan Mercedes Benz kerana sejak zaman Allahyarham Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah menggunakannya,” katanya.

Kenderaan model terbaharu itu dipercayai bernilai hampir RM700,000 ditempah sejak tahun lalu dan kenderaan itu mula digunakan tahun ini.

Dalam pada itu, Dato’ Paduka Ibrahim turut menyentuh mengenai keputusan kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM50,000 kepada Exco.

Meskipun mereka mendakwa duit itu akan kembali kepada rakyat, Dato’ Paduka Ibrahim mempersoalkan kenapa ia tidak disalurkan terus melalui wakil rakyat.

“Lagi memeranjatkan saya, Exco meluluskan peruntukan untuk Exco.

“Jangan perbodohkan kita, kalau betul nak salurkan kepada rakyat, kenapa tidak melalui wakil rakyat,” tambahnya lagi. –THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments