Saturday, July 27, 2024
HomeBERITAHarmonikan hubungan masyarakat pelbagai kaum - calon PBM

Harmonikan hubungan masyarakat pelbagai kaum – calon PBM

Calon paling muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani dari Parti Bangsa Malaysia (PBM), Muhammad Hanis Asmui Md Salleh yakin pelaksanaan Undi18 memberi kelebihan kepadanya pada PRN Johor, pada 12 Mac ini.

Muhammad Hanis Asmui, 28 tahun berkata pihaknya juga menerima maklum balas baik daripada pengundi lebih berusia yang mengakui lebih suka wakil pemimpin muda untuk berkhidmat kepada mereka.

“Sebagai anak kelahiran Muar, saya mendapat sambutan baik daripada golongan muda di DUN Maharani sejak mula bertugas di sini kira-kira tiga tahun lalu.

“Sebagai calon termuda di kawasan ini, saya melihat ia lebih memberi kelebihan terutama dengan pelaksanaan Undi18.

“Selain itu, walaupun dalam kalangan pengundi yang lebih tua, ramai yang berkata mereka lebih suka wakil yang lebih muda yang lebih bersemangat dan bertenaga,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, sebagai calon yang baru merasai pengalaman bertanding pada pilihan raya, beliau mengakui proses berkempen adalah sesuatu yang memenatkan.

Tambahnya lagi, namun dia menganggap ia sebagai satu cabaran dan berminat untuk mendekati seramai mungkin golongan muda.

“Saya berdepan tugas berat dalam perebutan kerusi enam penjuru di Maharani, lebih-lebih lagi parti lain mempunyai jentera pilihan raya yang lebih kuat.

“PBM adalah parti baharu dan walaupun ia adalah satu cabaran bagi saya, saya bangga mewakili parti PBM dan percaya dengan semua yang diperjuangkan,” katanya.

Mengenai fokus utamanya jika memenangi kerusi DUN itu, Muhammad Hanis berkata, beliau mahu memperkasakan golongan belia dan membantu mereka menghadapi cabaran masa depan.

Ini kerana katanya, cabaran yang dihadapi belia hari ini sangat berbeza daripada sebelumnya dan terdapat lebih banyak tekanan, selain daripada gangguan.

“Walaupun internet membuka ufuk baharu kepada golongan belia daripada media sosial kepada pelbagai maklumat, terdapat juga pelbagai perkara negatif daripada kemudahan itu.

“Justeru, saya berazam untuk melakukan yang terbaik untuk menjadi mata dan telinga belia di sini serta membantu membimbing serta menyokong mereka dalam memastikan masa depan yang lebih baik untuk diri mereka,” katanya.

Katanya, selain memperkasakan belia, beliau juga mahu memberi tumpuan untuk membantu kerajaan membina semula ekonomi, terutama berikutan kesan pandemik COVID-19.

“Saya juga mahu memainkan peranan penting untuk lebih mengeratkan hubungan antara semua kaum di negara ini.

“Kepelbagaian kaum menjadi tunjang kepada negara kita dan saya mahu memainkan peranan saya dalam mengukuhkan lagi perkara ini di kalangan semua kaum di sini,” katanya.

Muhammad Hanis bakal berdepan pertandingan enam penjuru termasuk dari penyandang DUN itu, Nor Hayati Bachok dari Pakatan Harapan (PH) dan calon BN, Noor Farah Shamsudin.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments