Tuesday, May 28, 2024
HomeBERITAGagal menyediakan laporan pelaksanaan semula PPSMI dan impak DLP, Teo Nie Ching...

Gagal menyediakan laporan pelaksanaan semula PPSMI dan impak DLP, Teo Nie Ching wajar letak jawatan – Dr. Kamarul Yusoff

Umum tahu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini dikatakan gagal mengeluarkan laporan kajian terperinci pelaksanaan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) walaupun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu kajian terperinci sedang dibuat oleh KPM sewaktu menjawab pertanyaan Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai, Fahmi Fadzil di parlimen pada 16 Julai tahun lalu.

Menurut Dr. Kamarul Yusoff yang menulis berkenaan isu ini di laman Facebooknya, Teo Nie Ching wajar digugurkan daripada barisan kabinet di atas kegagalan menyediakan laporan kajian terperinci pelaksanaan semua PPSMI.

“Sebenarnya, bukan sahaja laporan kajian terperinci pelaksanaan semula PPSMI ini yang gagal dikeluarkan oleh KPM, malah lebih teruk lagi Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, juga gagal menunaikan janji untuk membentangkan kajian impak Dual Language Programme (DLP) yang lebih komprehensif  pada Januari 2019.

“Janji ini dibuat oleh Teo Nie Ching di Parlimen, bagi menjawab soalan Ahli Parlimen BN Parit Sulong, Dato’ Dr. Noraini Ahmad, pada 26 November 2018, di mana kata-kata Teo Nie Ching yang tercatat di dalam Penyata Rasmi Parlimen adalah, “KPM sedang menjalankan kajian impak DLP yang lebih komprehensif. Dapatan kajian dijangka akan diperoleh dan dibentangkan pada Januari 2019,” katanya.

Beliau yang juga Pensyarah Senior Universiti Utara Malaysia (UUM) turut mengkritik kenyataan Teo Nie Ching dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengenai pemerkasaan DLP sebagai alternatif kepada pelaksanaan semula PPSMI sedangkan laporan kajian impaknya belum dilakukan.

“Bagaimana kita boleh tahu keberkesanan DLP bila laporan kajian impaknya tiada?,” soal beliau.

Tanpa berselindung dan secara tegas beliau mencadangkan agar Teo Nie Ching digugurkan dari jawatan kerana baginya Timbalan Menteri Pendidikan terbabit terbukti gagal menunaikan janji dan mengabaikan terus tugas dalam isu kajian dan implikasi pelaksanaan DLP dan PPSMI yang kini menjadi perdebatan hangat di kalangan masyarakat.

Perdana Menteri yang juga pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan PPSMI akan digunakan semula untuk pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah pada 31 Januari lalu.

Beliau berkata penggunaan dan penguasaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan perlu terus digalakkan terutama dalam pembelajaran Sains dan Matematik.

*Dr. Kamarul Yusoff adalah Pensyarah Senior di Universiti Utara Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili The Malaya Post.

*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments