Friday, July 26, 2024
HomeBERITAFilem seram lakonan Ashraf Sinclair, 'Syaitan munafik' bakal jengah pawagam Malaysia,...

Filem seram lakonan Ashraf Sinclair, ‘Syaitan munafik’ bakal jengah pawagam Malaysia, Brunei 21 Disember ini

PETALING JAYA, 18 Dis – Hampir 15 tahun terperam, filem seram lakonan Allahyarham Ashraf Sinclair, Syaitan Munafik bakal menemui penonton Malaysia, Brunei mulai 21 Disember ini.

The Malaya Post difahamkan, filem ini juga bakal ditayangkan di Indonesia pada pertengahan Januari 2024.

Filem Syaitan Munafik arahan Allahyarham Majed Saleh turut dibintangi pelakon hebat seperti Faizal Hussein, Ruminah Sidek, Datuk Jalaluddin Hassan, Linda Hashim, Nabil Ahmad, Bandi Amuk, Siti Khadijah, Erin CTJ, Reeduwan dan Wom UG14.

“Diterbitkan 15 tahun lalu, ia bakal ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia dan Brunei pada 21 Disember ini,” menurut Mohd Rosdi.

Dalam pada itu seramai 18 artis Indonesia bakal menyerikan malam gala filem Syaitan Munafik yang bakal diadakan di TGV Wangsa Walk pada 18 Disember ini.

Penerbitnya Datuk Mohd Rosdi Shair berkata, semua artis terdiri daripada sahabat pelakon utama, Allahyarham Ashraf Sinclair dan ada antara mereka pernah berlakon bersamanya.

“Selain Mayang Lucyana, Dafina Jamasir, Ichal Muhammad, Vanda, Hami DIA, Vinessa Ines, Derick Jordan, Lolly Ismaya, Erlina Sutansyah, Arida Nuraini, Vidya Ully dan Anissa Kayla, turut hadir penyanyi Ucie dan pemenang Ratu Cantik Indonesia Jawa Tengah, Ilma Fitriana.

“Kehadiran mereka kerana menyokong pelakon wanita utama, Dea Lestari dari Indonesia.

“Semua artis ini akan diterbangkan dari Jakarta oleh TransNusa Air yang juga penaja rasmi penerbangan untuk acara itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Dea Lestari

Sementara itu, Dea Lestari, 36, mengakui tidak sabar menonton filem Syaitan Munafik dan melihat dirinya yang ketika itu berusia 21 tahun.

“Pastinya filem ditunggu-tunggu. Seingat saya produksi sudah sangat lama dan mengalami banyak pindaan.

“Selain itu, jalan ceritanya yang mencemaskan pasti akan memuaskan hati penggemar filem seram Malaysia dan Indonesia,” katanya yang mula berlakon sejak berusia sebelas tahun.

Bagi Dafina Jamasir, 33, dia bangga melihat usaha menerbitkan filem membabitkan pelakon dua negara serumpun.

“Dunia perfileman sekarang sangat jauh berkembang, apalagi dalam projek filem ini mempertemukan artis Indonesia dan Malaysia. Maka kerjasama akan terus berkembang.

“Mulai daripada teman, pengalaman dan projek baharu, ini akan menjadikan hubungan kita semakin erat,” katanya.

Seorang lagi pelakon iaitu Derick Jordan, 22, menyifatkan promosi penting membawa karya ke pasaran Indonesia.

“Selain pembabitan pelakon, promosi juga penting dalam menarik penonton ke pawagam.

“Penerbit mesti mengadakan kempen promosi besar-besaran dengan membawa pelakon menjelajah ke pelbagai lokasi.

“Ini memberi peluang kepada masyarakat penonton mengenali pelakon,” katanya.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments