PUTRAJAYA, 29 Nov – Karnival Kerjaya MADANI sempena Festival Idea Putrajaya 2024 berjaya menarik seramai 6,398 graduan dan pencari kerja sepanjang tiga hari penganjurannya dari 27 hingga 29 November 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Menurut Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat PERKESO, daripada jumlah tersebut, 697 individu telah berjaya menerima tawaran pekerjaan secara langsung, manakala 5,525 peserta lain disenarai pendek untuk sesi temu duga kedua.

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata penganjuran ini menawarkan lebih 8,000 peluang pekerjaan dan latihan industri dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui PERKESO, MYFutureJobs, dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Sebanyak 143 majikan dari pelbagai sektor seperti penerbangan, perhotelan, kejuruteraan, kewangan, dan kesihatan terlibat, menawarkan jawatan dari penempatan latihan industri hingga ke peringkat eksekutif.

Antara majikan yang turut serta adalah Airasia Group, Malaysia Aviation Group, Marriot International, TM, MARii, MGTC, UOA Group, Berjaya Corporation, Prasarana Malaysia Berhad, PWC In Malaysia dan banyak lagi.
Pelbagai jawatan juga turut ditawarkan antaranya Pereka Grafik, Jurutera Mekanikal, Eksekutif Akaun, Pengurus Pemasaran, Cabin Crew dan banyak lagi, malah hampir kesemua majikan yang turut serta dalam karnival kerjaya ini menawarkan latihan industri dalam pelbagai bidang.

Objektif utama penganjuran karnival kerjaya ini adalah untuk menawarkan peluang pekerjaan khususnya perantisan dan juga penempatan latihan industri kepada graduan yang bakal menamatkan pengajian dalam masa terdekat.
Karnival ini dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 28 November 2024 dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan, membuktikan usaha kerajaan dalam memperkukuh pasaran buruh tempatan melalui inisiatif yang dinamik dan menyeluruh.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, hubungan baik antara KESUMA melalui PERKESO dan KPT menerusi kolaborasi sinergi ini berjaya membentuk satu dimensi yang baru yang mana kerjasama begini menjadi jambatan graduan ke dalam pasaran buruh aktif, ini dibuktikan dengan penganjuran Karnival Kerjaya MADANI anjuran bersama MYFutureJobs sempena kemuncak Festival Idea Putrajaya 2024 yang berjaya mengumpul ramai bakal graduan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia.
“Karnival ini juga adalah lambang kepada komitmen KESUMA dan PERKESO dalam memastikan Pasaran Buruh Aktif dikuasai oleh bakat tempatan. Saya menyeru kepada graduan di luar sana, ayuh daftar dan dapatkan pekerjaan idaman anda di Portal MYFutureJobs,” jelas beliau.

Muhammad Hadry, 24, graduan lulusan University of Manchester yang kini bergelar Jurutera di MARii berjaya mendapatkan pekerjaan melalui karnival kerjaya yang dianjurkan ini berkata, beliau telah menerima pesanan ringkas daripada PERKESO mengenai penganjuran Karnival Kerjaya ini.
“Peluang untuk bersemuka dengan majikan memberikan saya lebih bersemangat dan memupuk rasa yakin pada diri sendiri dan berharap ilmu yang saya pelajari dapat berbakti pada negara,” ujar Hardy.

Manakala Azlina Md Uthong daripada Hektar Property Services pula menyatakan kegembiraan beliau apabila berjaya mendapatkan pekerja yang berkualiti hasil dari sesi temu duga yang dijalankan.
“Karnival kerjaya kali ini sangat memberangsangkan! Kami berjaya capai hampir 70 peratus Key Performance Indicator (KPI) dalam masa satu hari sahaja, terutamanya dengan kehadiran ramai graduan dan pelajar tahun akhir.
Karnival seperti ini sememangnya peluang emas buat para majikan,” tambahnya.

Katanya, antara aktiviti yang turut mencuri tumpuan adalah sudut MYFutureJobs On The Go! yang menyediakan aktiviti interaktif dimana pengunjung bermain permainan seperti Penalty Shoot Out, Mini Golf dan MYFutureJobs Wheels yang menyediakan pelbagai hadiah berupa cenderamata ekslusif MYFutureJobs.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply