PUTRAJAYA, 29 Nov – Festival Idea Putrajaya (FOI) kini diangkat ke peringkat nasional dengan penubuhan jawatankuasa khas kabinet yang akan memastikan program ini dapat dikembangkan secara lebih meluas membabitkan pelbagai sektor dan kementerian pada tahun depan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, memaklumkan bahawa keputusan terbabit telah dibuat dalam mesyuarat kabinet baru-baru ini.
“Acara selama tiga hari yang berjaya menarik lebih 100,000 pengunjung ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan setelah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sehubungan itu, kabinet telah memutuskan untuk menubuhkan Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Langkah ini menjadikan FOI sebagai inisiatif berskala nasional,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan FOI Putrajaya hari ini.
Menurut beliau, usaha ini bertujuan memperkukuh kerjasama antara kementerian dan agensi, sekali gus memastikan pelaksanaan program dapat diperkemas untuk memberi manfaat yang lebih besar pada masa akan datang.
Datuk Seri Dr. Zambry turut menyatakan bahawa FOI berjaya meletakkan Malaysia di peringkat antarabangsa sebagai platform yang unik untuk mengetengahkan idea-idea inovatif.

Ketika ditanya sama ada idea yang dibincangkan sepanjang festival akan dilaksanakan, beliau menyatakan keyakinannya dan menjelaskan bahawa topik seperti titah diraja bertajuk “Rethinking Development Ideas” memberikan pandangan baharu untuk menilai semula model pembangunan negara.
“Idea-idea ini akan dihimpunkan dalam satu laporan untuk dipersembahkan kepada kabinet bagi pertimbangan lanjut,” ujarnya.

Sepanjang festival ini, sebanyak 10 program selari telah dianjurkan, termasuk seminar yang dipengerusikan oleh menteri-menteri. Program tersebut membincangkan pelbagai isu seperti ekonomi, pendidikan, kecerdasan buatan (AI), kesihatan, keselamatan makanan, dan kelestarian, bukan sahaja sebagai ruang dialog tetapi juga sebagai langkah proaktif menteri untuk melaksanakan idea demi kesejahteraan negara.
Festival yang berlangsung selama tiga hari ini turut menawarkan lebih 2,000 peluang pekerjaan serta menjadi platform kepada para pakar, pemimpin, ahli akademik, dan masyarakat umum untuk membincangkan penyelesaian kepada cabaran semasa.

Semalam, Anwar dalam ucapannya mencadangkan agar FOI dijadikan acara tahunan untuk menggalakkan kreativiti, memupuk inovasi, dan melibatkan generasi muda dalam mencorakkan masa depan negara.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply