Penyanyi cantik dan bersuara serak basah Ezlynn, 39, atau nama penuhnya, Azline Ariffin telah melangsungkan pernikahan dengan Wan Mohd Hafizam yang juga penderma hati pertama negara, secara virtual.
Memetik laporan Berita Harian, selepas lebih empat tahun hidup solo, Ezlynn mendedahkan dirinya bernikah dengan jejaka pilihan hati, Wan Mohd Hafizam Wan Ismail, 45, pada 11 September lalu.
“Alhamdulillah, majlis nikah kami sangat ringkas seiring norma baharu era pandemik COVID-19. Tiada majlis keraian dianjurkan.
“Jadi, kami tiada foto perkahwinan. Hendak bergambar sekali pun jauh… Saya dan suami berada di Perlis manakala keluarga di Kuala Lumpur.
“Cukup semuanya dipermudahkan. Sudah termaktub ikatan rasmi hubungan kami dan semoga berpanjangan sampai Jannah,” katanya.
Tinjauan The Malaya Post di Instagramnya, Ezlyn telah memuat naik tiga video membabitkan Ezlyn, suami dan seorang kanak-kanak lelaki.
Ezlynn yang popular dengan lagu Hi Hi Bye Bye mengenali suaminya ketika terbabit dengan kerja amal untuk sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Perkenalan kami berputik begitu sahaja. Tiada isyarat tertentu. Saya tertarik kepada ketulusan hatinya. Dia sangat menjaga solat, tidak lokek membantu orang dan amanah dalam bekerja,” katanya.
Ditanya mengenai status suami, Ezlynn bagaimanapun enggan mengulas.
“Saya tidak mahu ulas status suami. Apa yang lebih utama, kami tidak sembunyikan perkahwinan ini,” katanya.
Sebelum ini, Ezlynn pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas pengurus peribadinya, Adam Fahmy Shamsudin pada 20 November 2011.
Mereka bagaimanapun bercerai pada Oktober 2017 dan tidak dikurniakan cahaya mata.
Wan Mohd Hafizam pula dikatakan memiliki tiga anak.
Tahnia Ezlynn dan suami, semoga kekal bahagia hingga ke jannah.–THE MALAYA POST
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply