Thursday, May 23, 2024
HomeBERITAEXCO Pemuda UMNO Malaysia didakwa guna gelaran Datuk palsu

EXCO Pemuda UMNO Malaysia didakwa guna gelaran Datuk palsu

KUALA LUMPUR, 7 April – Seorang EXCO Pemuda UMNO Malaysia didakwa menggunakan gelaran Darjah Kebesaran Istana Pahang yang palsu.

Ia susulan tersebar sepucuk surat semakan status Darjah Kebesaran Negeri Pahang daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Selangor bertarikh 23 Mac lalu yang mengesahkan individu berkenaan tidak dikurniakan sebarang pingat Darjah Kebesaran oleh Istana Pahang.

Perkara itu dibangkitkan oleh seorang wakil Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang, Mohammad Afiq Tahar yang telah membuat satu laporan polis pada 7 Mac lalu kerana mendapati wujud unsur-unsur penipuan oleh Hasry Sham Chasmen yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ampang.

“Hasry Sham Chasmen telah menggunakan gelaran ‘Datuk’, beliau sebelum ini adalah Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang yang pernah dipecat empat tahun lalu dan kini kembali aktif di arena politik arus perdana Selangor di peringkat parti UMNO dan juga Barisan Nasional.

Namun ada beberapa perkara yang mencurigakan mengenai dirinya apabila dia dikaitkan dengan perolehan anugerah Datuk palsu daripada Istana Pahang untuk tujuan peribadi dan perniagaan yang diceburinya,” katanya kepada media hari ini.

Mohammad Afiq turut mendakwa Hasry Sham telah menggunakan simbol gelaran Datuk Istana Pahang pada kenderaannya selain menggunakan teknik ubah suai foto istiadat dirinya dikurniakan pingat kebesaran.

“Perkara berkaitan penyamaran status ‘Datuk’ Hasry ini telah dilaporkan kepada pihak polis dan disahkan oleh Bahagian Protokol Istana Kerajaan Negeri Pahang sendiri melalui satu emel apabila hasil carian dibuat, tiada rekod mengenai individu dinamakan bagi anugerah Darjah Kebesaran Negeri Pahang (DIMP) itu.

Dakwaan ini adalah sesuatu yang serius dan siasatan pihak berkuasa perlu dijalankan segera lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan individu yang terlibat secara aktif dalam politik dan perniagaan kerana ia akan menimbulkan kekeliruan dan implikasi yang besar kepada masyarakat.

Saya juga tidak mahu perkara yang dilakukan oleh beliau ini dikaitkan dengan Pemuda UMNO kerana ini adalah kesalahan peribadi dan tidak wajar sama sekali dikaitkan dengan nama baik Pemuda UMNO Ampang,” kata Mohammad Afiq.

Hasry Shah bagaimanapun turut membuat satu laporan polis baru-baru ini dan mendakwa dirinya difitnah.

Beliau mendakwa menerima anugerah kebesaran itu pada 24 Oktober 2017.

Pada Mac 2021 lalu, isu pemakaian status dan gelaran “Datuk Palsu” pernah dibangkitkan Naib Presiden Majlis Datuk Persekutuan Malaysia (MDPM) Datuk Abdul Razak Dawood apabila trend itu semakin berleluasa mengakibatkan ramai pemegang asli gelaran itu menerima malu dan aib.

Menurutnya, ramai kalangan ahli perniagaan muda dilihat sengaja bermegah dan menggunakan gelaran Datuk untuk mendapatkan pengaruh bagi menarik perhatian golongan tertentu termasuk bagi memerangkap orang ramai dalam usaha menjayakan matlamat perniagaan atau agenda politik mereka.

“Sebagai rakyat Malaysia sesiapa saja boleh buat laporan sekiranya merasakan ada orang menyamar dan memakai gelaran palsu, tidak perlu tunggu buat aduan kepada kita (MDPM) bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Akta Kesalahan Yang Berhubungan dengan Anugerah 2017 (Akta 787) dijalankan.” katanya.

“Untuk seseorang individu mendapat gelaran Datuk di peringkat Persekutuan, kami hanya membenarkan umur 45 tahun ke atas, jadi orang ramai perlu ada perasaan syak sekiranya melihat ada antara golongan muda sewenang-wenangnya menggunakan gelaran ini.”

Gejala penyamaran “Datuk Palsu” ini perlu dicegah sebelum parah seiring usaha membendung aktiviti “scammers” dan penyiasatan ke atas mana-mana individu terbabit dalam skim ini perlu disegerakan dan dikenakan tindakan perundangan sewajarnya.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments