Thursday, July 11, 2024
HomeBERITAEksport orkid ke Dubai: 36 syarikat terima pesanan belian RM83.9 juta bagi...

Eksport orkid ke Dubai: 36 syarikat terima pesanan belian RM83.9 juta bagi tahun 2024

CYBERJAYA, 25 Sept – Sejumlah RM83.9 juta nilai pesanan belian bagi tahun 2024 diperoleh untuk 36 syarikat pengeluar orkid projek perintis Ladang Eksport Orkid Dubai (LEOD) dengan setiap syarikat masing-masing menerima pesanan bernilai RM2.3 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Orchidmas Sdn Bhd yang menguruskan promosi produk keluaran LEOD, Shiz Mohammad Datuk Dr. Kassim berkata, di samping itu, syarikat-syarikat berkenaan juga memperoleh kontrak pembekalan selama lima tahun bernilai RM419.9 juta dengan setiap syarikat menerima kontrak bernilai RM11.6 juta.

Shiz berkata, orkid jenis Mokara akan dieksport ke Dubai dalam bentuk kotak hadiah mengandungi keratan orkid dengan konsep ”Sedia untuk Diperaga” (Ready-to-Display) yang dapat meningkatkan nilai tambah orkid tersebut kepada pihak pengeluar.

Katanya, syarikatnya juga terlibat dalam pengendalian setiap operasi logistik darat dan udara dari Malaysia ke Dubai bersama dengan rakan strategik, Emirates SkyCargo.

Tambahnya, Orchidmas telah menubuhkan satu syarikat di Emiriah Arab Bersatu (UAE) iaitu Orchidmas International LLC, Dubai yang berkolaborasi dengan  CKS Foodstuff Trading LLC, Dubai bagi melancarkan urusan penjualan dan promosi produk di Dubai melalui platform e-dagang, orchidmas.com.

”Pihak CKS Foodstuff Trading LLC merupakan rakan strategik kami kerana pengalaman 10 tahun mereka dalam pemasaran produk pertanian Malaysia di Dubai terutamanya bagi produk buah-buahan dan sayur-sayuran. Kini, pihak CKS ingin memperluas urus niaga mereka dengan membawa produk orkid Mokara ini ke Dubai.

”Dengan pesanan belian dan kontrak pembekalan lima tahun, pihak CKS telah merealisasikan keperluan 36 syarikat pengeluar berkenaan bagi tujuan pembiayaan projek LEOD ini melalui EXIM Bank,” katanya pada majlis penyerahan dokumen pesanan belian dan kotrak pembekalan di sini hari ini.

Shiz berkata projek perintis LEOD melibatkan tiga ladang dengan jumlah keluasan 72 ekar iaitu LEOD Lukut, LEOD Linggi dan LEOD Sepang.

”Bagi LEOD Lukut, sebanyak lapan syarikat pengeluar yang terlibat di atas tanah milik pihak Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Port Dickson seluas 18  ekar. Bagi LEOD Linggi pula, sebanyak lima syarikat pengeluar terlibat di bawah pajakan tanah yang diuruskan oleh Koperasi Sahabat Fulda Malaysia Berhad seluas 10 ekar.

Manakala, bagi LEOD Sepang, pembangunan LEOD bagi 17 syarikat pengeluar di bawah pajakan tanah yang diuruskan oleh Koperasi Usahawan Alam Shah Berhad seluas 34 ekar,” katanya.

Selain itu, ujarnya lagi, terdapat enam syarikat pengeluar yang menggunakan tanah persendirian di Jenjarom, Serendah dan Banting, Selangor; Lukut & Rembau, Negeri Sembilan dan Jasin, Melaka dengan jumlah keluasan 12 ekar.

Sementara itu, seorang pengusaha Normala Daud, 53, berkata beliau menyertai projek LEOD kerana minat mendalamnya terhadap bunga orkid.

”Ini adalah peluang untuk saya perkembangkan hobi saya kepada perniagaan yang menjana pendapatan lumayan.  Saya mengumpul segala jenis orkid daripada pelbagai spesies dan hibrid sejak 26 tahun lalu dan ada yang masih hidup dan membiak sampai sekarang,” katanya selepas menerima dokumen pesanan belian daripada CKS Foodstuff Trading LLC hari ini.

Normala, kelahiran Hulu Langat, Selangor kini mengusahakan syarikat berasaskan teknologi maklumat serta pertanian menyertai projek LEOD di Lukut, Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Ketua Unit Florikultur, Seksyen Komoditi Bernilai Tinggi, Jabatan Pertanian, Ts. Nizam Malik yang membentangkan perancangan projek LEOD kepada para pengusaha berkata, nilai eksport industri florikultur negara dari tahun 2017 sehingga tahun 2021 adalah RM2.37 bilion.

Ts. Nizam Malik sampai taklimat kepada pengusaha orkidk

”Berdasarkan kepada statistik industri florikultur dunia, Malaysia merupakan negara pengeksport ke-9 pada tahun 2021 dengan nilai RM407.2 juta. Orkid merupakan salah satu bunga-bungaan yang dieksport terutamanya ke Singapura dengan nilai purata tahunan sebanyak RM12.06 juta  antara tahun 2017 sehingga 2021.

”Berikutan dari sumbangan nilai eksport tahunan industri florikultur yang hampir mencecah 500 juta ini kepada pendapatan negara, pembangunan projek LEOD ini telah dirancang sejak tahun 2021 dengan pelaksanaannya memerlukan hubungan kerjasama yang erat antara pihak Jabatan Pertanian, pengeluar, pemain industri dan institusi kewangan yang akan menyalurkan dana pembiayaan,” katanya.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments