Monday, July 15, 2024
HomeBERITAEjen kosmetik mangsa culik kini selamat, dalam pemantauan polis

Ejen kosmetik mangsa culik kini selamat, dalam pemantauan polis

KUALA LUMPUR, 30 September – Ejen jualan produk kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim yang berjaya ditemui semula selepas diculik sekumpulan lelaki dari kediamannya di Tumpat, Kelantan pada 13 September lalu, diselamatkan ketika cuba diseludup ke Laos.

Lapor Berita Harian sumber berkata, kedudukan mangsa dapat dikesan berdasarkan maklumat yang diperoleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum maklumat itu disalurkan kepada Polis Diraja Thailand.

Berikutan itu, polis negara itu membuat sekatan jalan raya di kawasan sempadan Thailand-Laos dan berjaya menyelamatkan mangsa.

Menurut sumber, mangsa kini berada di bawah pemantauan pihak polis di Kuala Lumpur selepas selamat tiba ke negara ini, semalam, untuk pemantauan tahap kesihatannya.

“Buat masa ini, polis sedang memantau perkembangan kesihatan fizikal dan psikologi mangsa sebelum dibenarkan pulang untuk bertemu keluarganya,” katanya.

Bagaimanapun, sumber enggan mendedahkan lokasi sebenar keberadaan wanita itu bagi mengelakkan mangsa diganggu buat masa ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, dalam kenyataan memaklumkan Rosnazirah, atau Azi, 36, berjaya diselamatkan Polis Diraja Thailand dan dihantar pulang ke tanah air.

Katanya, lokasi kedudukan mangsa berjaya dikesan hasil bantuan dan kerjasama erat antara pihak berkuasa Thailand dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Siasatan dan kerjasama erat antara PDRM dengan Polis Diraja Thailand serta perkongsian maklumat dan perisikan berjaya menjejaki dan mengenal pasti lokasi keberadaan mangsa di Thailand.

“Mangsa akhirnya berjaya diselamatkan dengan hasil bantuan pihak berkuasa negara itu dan dibawa pulang ke Malaysia hari ini,” katanya.

Acryl Sani dilaporkan berkata, seramai tujuh lelaki tempatan ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur berhubung kes itu.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments