KUALA LUMPUR 29 Sept 2019 : Pertubuhan Kesejahteraan dan Hak Rakyat, POWER menyatakan sokongan penuh di atas perlantikan Dr. Azman Hussin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang baharu.
Namun menurut Pengerusi POWER, S. Gobi Krishnan, dalam satu kenyataan medianya, cabaran menanti Dr. Azman dalam memulihkan imej SSM cukup besar.

Ini meliputi langkah memperbaiki tatacara SSM dari segi tadbir urus (governance), kebertanggungjawaban dan integriti supaya lebih ke hadapan dalam menangani isu rasuah dan salah guna kuasa serta mengelak berlakunya ketirisan wang rakyat.
“Sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mendokong integriti, kami menyokong penuh pelantikan beliau, yang dilihat terbaik atas asas kelayakan, kewibawaan dan pengalamannya.
“Cabaran menanti Dr Azman dalam memulihkan imej SSM cukup besar. Usaha tersebut boleh diambil melalui jalinan kerjasama dengan SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Kami percaya Dr. Azman juga akan memberi
penekanan kepada usaha memulihkan moral warga kerja SSM ekoran kes siasatan rasuah,
yang disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga”, katanya.

Untuk rekod, Dr. Azman adalah pemegang ijazah Kedoktoran dalam bidang Pengurusan dan Ijazah
Masters dalam bidang Fizik dari Universiti Ohio, Amerika Syarikat. Beliau mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam industri ICT dan latihan.
Dr. Azman juga adalah penulis maha karya yang menjadi rujukan ramai iaitu buku ‘Prophet Muhammad : The Hallmark of Leadership, di mana beliau mengupas dengan jelas sifat-sifat kepimpinan Nabi Muhammad.
“Kami berpendapat bahawa pelantikan ini tepat pada masanya bagi menangani situasi masa kini tatkala SSM terbelenggu dengan isu salahguna kuasa dan rasuah jutaan ringgit yang melibatkan pegawai kanannya”, tambahnya.
Jelasnya, atas kepentingan yang mendesak demi SSM, rakyat dan negara, POWER yakin Dr. Azman
akan memberi keutamaan dalam isu berkenaan bagi mendokong integriti.
Ini menuntut langkah-langkah pembersihan dan pembetulan seawal mungkin sebelum gejala rasuah dan salah guna kuasa dikhuatiri menjadi barah di SSM.
“Dalam hubungan ini, kami mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) kerana telah berjaya membongkar gejala rasuah dan salah guna kuasa di SSM.
Walaupun siasatan telah berlarutan hampir setahun dan status siasatannya kini menjadi tanda tanya, kami percaya SPRM akan dapat menyelesaikan kes terbabit dan mengheret sesiapa sahaja yang terbabit ke muka pengadilan”, katanya.
Tambahnya lagi, rakyat dan rata-rata kakitangan SSM menanti tindakan seterusnya dengan prinsip keadilan ‘justice must not only be done, but must be seen to be done’.
“Apa pun kami mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas kepada Kerajaan Pakatan
Harapan kerana komited untuk memulihkan imej SSM dan mengambil keputusan tepat
dengan pelantikan Dr. Azman”, katanya.

Leave a Reply