Platform jual beli atas talian Zalora dan fesyen pakaian dari jenama ‘Rizalman For Zalora’ bukanlah satu nama asing untuk penggemar ‘online shopping’.
Terbaru, pereka fesyen terkenal negara, Dato’ Rizalman Ibrahim telah membuat satu majlis pengumuman tentang pengunduran produknya dari platform atas talian, Zalora.
Melalui video di IGTV milik Dato’ Rizalman yang berdurasi 12 minit, beliau telah mengumumkan tentang kolaborasinya bersama Zalora Malaysia dan bakal berakhir tidak lama lagi.
Rizalman For Zalora telah bertapak selama 8 tahun, mulai dari tahun 2013 sehingga 2019 dan pada tahun 2020, Dato’ Rizalman akan berundur dari Zalora dan mengakhiri kerjasama berkenaan.
Menurutnya, keputusan pengunduran ini telah dibuat pada awal tahun ini.
Pada tahun 2016, beliau pernah menguar-uarkan pengunduran dari Zalora namun tidak dipersetujui oleh banyak pihak.
Tambah beliau lagi, antara sebab yang menjadikan beliau nekad berundur adalah kerana ingin memberi tumpuan pada produk-produknya yang lain, di bawah keluaran syarikat Rizalman Ibrahim (RI).
Beliau ingin memberikan peluang dan manfaat berada di platfom itu kepada orang lain terutama kepada pereka fesyen tempatan dan tidak ketinggalan orang ramai yang ingin berada di dalam platfom Zalora.
Dalam nada sebak, Dato’ Rizalman meminta para peminat produk dan fesyen dari Rizalman Ibrahim memberikan sokongan padu yang terakhir pada koleksinya yang julung kali akan dipentaskan di Istana Budaya pada 20 Februari tahun hadapan (20/02/2020).
Sebelum beliau mengakhiri ucapan, Dato’ Rizalman juga memberitahu bahawa koleksi berkenaan boleh dibeli di Zalora pada tarikh yang sama.
Leave a Reply