Dakwaan mengenai kematian lima remaja selepas mendapat suntikan vaksin di Perak, Sabah dan satu lagi lokasi yang tidak dimaklumkan adalah tidak benar.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil maklum dengan klip video yang tular semalam yang turut menyentuh kemasukan dua remaja ke sebuah hospital selepas mengalami kesan samping susulan suntikan vaksin Covid-19.
Katanya, dua remaja berusia 17 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai di Ipoh, Perak, meninggal dunia sebelum mereka menerima suntikan vaksin.

“Remaja perempuan itu adalah pesakit penyakit kencing manis yang bergantung kepada rawatan insulin dan dijangkiti Covid-19 sebelum meninggal pada 18 Ogos lalu sebelum Program Vaksinasi PICK Remaja bermula.
“Seorang lagi adalah remaja lelaki menghidap penyakit jantung kongenital yang mendapat jangkitan kuman teruk,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Datuk Dr Noor Azmi berkata, remaja terbabit dirawat dan menerima bantuan pernafasan serta resusitasi tetapi meninggal dunia pada 17 September lalu serta belum menerima vaksin Covid-19.
Katanya, punca kematian pelajar terbabit adalah sepsis dengan sejarah penyakit kongenital (Sepsis with Underlying Congenital Health Disease).
Hasil siasatan mengesahkan tiada laporan kematian remaja di Lahad Datu susulan vaksin Covid-19.
Berhubung dakwaan dua remaja dimasukkan ke hospital selepas mengalami kesan sampingan susulan suntikan vaksin jenis Comirnaty, Datuk Dr Noor Azmi berkata, siasatan pihaknya mendapati dua remaja yang berusia 16 dan 18 tahun itu dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Ipoh.
Beliau berkata, remaja berusia berusia 16 tahun sudah dibenarkan keluar dari hospital manakala remaja yang berusia 18 tahun masih dalam rawatan dan pemerhatian doktor pakar di hospital itu.
“Semakan oleh Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagaimanapun mendapati laporan kesan sampingan kedua beradik ini masih belum diterima,” katanya.
Sehubungan itu katanya, KKM menasihatkan semua pengamal perubatan kerajaan dan swasta yang mengesyaki pesakit mereka mengalami kesan sampingan akibat vaksin (AEFI) untuk segera membuat laporan AEFI kepada NPRA.

Terdahulu tular sebuah video berdurasi satu minit 40 saat memaparkan seorang wanita mendakwa beberapa individu termasuk dua pelajar sekolah menengah di Ipoh, Perak dan seorang remaja di Lahad Datu, Sabah meninggal dunia akibat vaksin Covid-19.–THE MALAYA POST
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply