Dakwa ditipu pelaburan Datuk Seri, 400 individu tuntut wang dikembalikan

0

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Lebih 400 individu didakwa mengalami kerugian berjumlah RM54 juta akibat ditipu skim pembelian saham sebuah syarikat milik pasangan suami isteri bergelar Datuk Seri dan Datin Seri yang berpusat di Desa ParkCity.

Mangsa termasuk golongan profesional, doktor, polis dan pesara.

Seorang mangsa yang mahu dikenali Ana, 54 tahun berkata, jaminan pulangan dividen sebanyak empat peratus setiap bulan menjadi tarikan utama untuk menjerat mangsa supaya membeli saham berkenaan.

Ana yang menjalankan perniagaan sendiri berkata, mangsa terpedaya dengan status Datuk Seri dan isterinya yang didakwa bekas pegawai kanan dan wartawan di sebuah stesen TV swasta popular tanahair.

“Ya, dia kata dia orang besar di sebuah stesen tv popular dan isterinya wartawan. Kami terpedaya dengan sifatnya yang lemah lembut, bagi bunga bagi coklat.

“Sepanjang tahun lalu, memang kami dapat dividen yang dijanjikan itu. Namun, bermula bulan lalu, pembeli saham mula tidak menerima pulangan berkenaan. Kalau diikutkan memang setiap tujuh haribulan akan terima dividen.

“Kita hubungi syarikat itu, mereka memaklumkan akan bayar dividen lambat sedikit iaitu pada 8 atau 9 Januari, namun sampai sekarang tiada berita dan bulan ini pun sama. Dianggarkan RM54 juta kerugian dialami lebih 400 pembeli saham itu termasuk saya.

“Kami berasa marah, tidak puas hati dan cuba hubungi pihak syarikat dan Datuk Seri itu tetapi tidak berjawab. Malah hantaran e-mel pun tidak dibalas. Mereka menghilangkan diri tanpa khabar berita,” katanya pada sidang media, hari ini.

Seorang lagi mangsa, Azhar Ramli pula mendakwa telah ditipu Datuk Seri itu di mana dia dan rakannya terpaksa menanggung kerugian RM2.45 juta.

Mereka mendakwa telah pergi ke pejabat syarikat iaitu di Desa Park City pada pertengahan bulan lalu untuk mendapatkan penjelasan, namun hampa selepas premis sudah dikosongkan.

Cubaan ke rumah Datuk Seri yang berdekatan pejabat terbabit juga gagal kerana dikawal ketat pengawal keselamatan.

“Selepas beberapa hari, saya mendapat panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa sebagai polis minta saya datang ke pejabat komersial Bukit Aman di Kuala Lumpur berkaitan pembelian saham itu.

“Saya kemudian hadir dan bertemu empat individu dengan seorang mendakwa polis, seorang penasihat undang-undang Datuk Seri itu dan dua daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC).

“Mereka melampirkan dua dokumen kononnya saya terbabit pengubahan wang haram dan jaminan tidak mengganggu Datuk Seri, ahli keluarga serta rakannya. Individu terbabit mendesak saya untuk tandatangani dokumen itu serta mengugut akan dipenjarakan jika gagal berbuat demikian.

“Saya hanya tandatangani dokumen jaminan itu. Selepas itu, saya baru menyedari kumpulan itu membuat penyamaran dan satu laporan polis berkaitan perkara itu dan penipuan saham berkenaan dibuat di Balai Polis Travers pada 31 Januari lalu,” katanya.

Perunding kewangan, Azman, 35, pula mendakwa kerugian RM30,000 manakala 46 kenalannya RM4.68 juta.

“Ada dalam kalangan mangsa ibu tunggal dan penoreh getah. Mereka gunakan wang disimpan berpuluh tahun untuk dapatkan dividen ini.

“Kita minta syarikat itu pulangkan modal wang diberikan mangsa. Ini amanah syarikat dan tidak boleh sewenang-wenangnya ditangani seperti ini.

“Datuk Seri boleh berjumpa dengan kami jelaskan apa sebenarnya berlaku. Jangan hilangkan diri dan membiarkan isu ini berbulan-bulan seolah-olah tiada apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, pesara dikenali Johari, 59, berkata dia kerugian RM90,000 manakala lapan kenalannya RM730,000 selepas terbabit pembelian saham berkenaan.

Katanya, dia mula terbabit pembelian saham itu pertengahan tahun lalu dan mewar-warkan kepada rakan selepas yakin dengan sistem pelaburan berkenaan.

“Pembelian saham keutamaan dengan dividen tetap memang diperakui SC, malah ada syarikat yang menawarkan dividen hingga 4.5 peratus.

“Namun dalam hal ini Datuk Seri itu sudah mengambil kesempatan dan menipu kami. Pihak syarikat juga tidak memberi sebarang penjelasan ke mana duit kami pergi,” katanya.

Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Siti berkata, dia mengharapkan ada belas ihsan dari Dato’ Seri akan kesan yang terpaksa mereka tanggung akibat kehilangan wang pelaburan.

“Lihatlah kami, pandang kami. Kasihanilah kami dan ahli yang telah mengeluarkan wang simpanan dan melabur di syarikat Tuan. Tiada apa yang kami harapkan, hanya pulangkan wang hasil titik peluh kami”, katanya dengan linangan air mata.

Dilaporkan, usaha untuk mendapatkan reaksi balas daripada Datuk Seri dan isterinya itu gagal selepas panggilan media tidak berjawab.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply