CPRC sebagai pusat kesiapsiagaan, respon menangani wabak penyakit berjangkit

0

Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC- Perkhidmatan Hospital) telah ditubuhkan bagi membantu menangani pandemik COVID-19 dengan lebih berkesan khususnya yang berkaitan dengan pengurusan pesakit di hospital.

Menerusi perkongsian di laman media sosial Facebook Ketua Pengarah Kesihatan @Noor Hisham Abdullah, beliau memaklumkan pusat akan menjadi pusat penyelarasan perkhidmatan hospital untuk semua bentuk krisis pada masa hadapan.

Pusat terbabit dilengkapi dengan sistem telekomunikasi terkini bagi mempermudahkan penggunaan video-conferencing menyampaikan serta membuat pelbagai keputusan dalam pengurusan wabak ini.

CPRC Perkhidmatan Hospital akan bersidang setiap hari termasuk pada hari minggu dan cuti umum semasa wabak COVID-19 ini berlaku.

CPRC Perkhidmatan Hospital menggunakan sistem khas yang dibangunkan khusus untuk wabak ini bagi memantau pengunaan katil hospital COVID-19, katil ICU serta pusat rawatan/kuarantin berisiko rendah seluruh negara (CPRC Hospital Services Dashboard). Strategi diatur dan keputusan dibuat menggunakan data yang dihantar melalui sistem ini setiap hari oleh pihak hospital.

Buat masa ini, 118 buah hospital KKM dan 2 buah hospital universiti yang dikhaskan untuk menjalankan saringan COVID-19.

Bagi rawatan COVID-19, kira-kira 40 buah hospital termasuk dua buah hospital universiti telah dikenalpasti dengan kapasiti terkini sebanyak 4,946 katil.

Pada masa yang sama, terdapat 26 buah Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah dengan kapasiti terkini 3,875 katil bagi merawat pesakit positif COVID-19 yang mempunyai gejala ringan dan stabil.

Oleh itu, sebanyak 8,821 katil telah disediakan untuk menempatkan pesakit COVID-19 dan kadar penggunaan katil setakat ini adalah sebanyak 14%.

Kadar penggunaan katil buat masa ini adalah rendah kerana jumlah kes aktif COVID-19 semakin menurun dan banyak kes yang telah sembuh.

Selain itu, terdapat 15 makmal di hospital KKM yang boleh menjalankan ujian COVID-19.

Melalui proses naik taraf yang telah dilakukan, majoriti makmal-makmal di hospital KKM kini telah menggunakan platform automasi seperti ‘automated extractor’ bagi mempercepatkan proses menjalankan ujian COVID-19.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pasukan Program Perubatan yang sentiasa komited melaksanakan tugasan di belakang tabir bagi memudahcara tugasan rakan-rakan di barisan hadapan.

Kerja berpasukan ini sememangnya amalan yang diterap kepada setiap warga KKM.

Syabas dan tahniah!

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3279613528729179&id=578835322140360

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply