KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengesahkan pembinaan fizikal Kapal Tempur Pesisir (LCS) sedang dilaksanakan.
Menurut Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman, dalam satu kenyatan di Facebook rasmi beliau, sebahagian besar hull (badan) kapal tersebut dibina di Lumut Shipyard, Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Saya terlibat secara langsung dalam menggubal pelan pemulihan projek LCS bersama Kementerian Pertahanan Malaysia dan TLDM baru-baru ini, saya sudah berulang-kali turun ke Lumut Shipyard bagi melawat projek itu.
“Di bawah kontrak sekarang, pembinaan keenam-enam kapal ini perlu dibuat dalam masa yang sama (concurrently).
“Bukan bina satu, kemudian menghantar satu, kerana Lumut Shipyard besar dan ada kapasiti untuk pembinaan enam kapal sekali harung.
“RM6 bilion dari nilai kontrak RM9 bilion sudah dibayar.
“Kenapa bayar sampai RM6 bilion, tapi proses pembinaan untuk lima kapal pertama hanya pada purata 55 peratus? Sebab RM6 bilion dibelanjakan untuk beli hampir kesemua peralatan yang perlu untuk bina enam kapal kerana membeli secara pukal lebih murah berbanding beli satu persatu.
“Sebahagian besar perbelanjaan adalah untuk basic design dan detailed design yang dibuat oleh Naval Group, Perancis, ” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, pada Selasa.
Bagaimanapun, Datuk Ahmad Nazim berkata, di sebalik bebanan itu, projek LCS yang dibina oleh syarikat BNS di Malaysia telah membuka banyak peluang pekerjaan.
Antaranya, kerja teknikal dan kejuruteraan kepada hampir 3,000 jurutera dan lebih 400 vendor tempatan dalam pelbagai bidang, dengan nilai projek lebih RM4 bilion, serta ribuan lagi pekerjaan di syarikat vendor.
“Projek ini terhenti pada 2019 atas pelbagai sebab tetapi kabinet pada April 2022 memutuskan untuk menyambung semula pembinaannya berdasarkan pilihan yang paling murah.
“Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira tiga pilihan termasuk pelan penstrukturan semula BNS yang diteliti pihak kerajaan di pelbagai peringkat, termasuk Jawatankuasa Kabinet yang mengambil masa selama lapan bulan,” ujarnya.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost
Leave a Reply