Friday, March 29, 2024
Home BERITA MAHKAMAH Buat laporan palsu dakwa dirogol seorang wanita dihadapkan ke mahkamah

Buat laporan palsu dakwa dirogol seorang wanita dihadapkan ke mahkamah

0

Di Mahkamah Majistret Kota Bharu, seorang wanita dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membuat laporan palsu kepada polis dengan mendakwa dirogol seorang lelaki ketika menjalani kuarantin COVID-19.

Lapor Berita Harian, kejadian berlaku di sebuah pusat kuarantin di Pengkalan Chepa.

Bagaimanapun, Siti Nashurah Mat Daud, 26, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.

Mengikut kertas pertuduhan, Siti Nashurah dituduh memberi maklumat palsu kepada anggota polis dengan mendakwa dirinya dirogol seorang lelaki berusia 34 tahun, dengan niat supaya tindakan diambil terhadap individu itu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kaunter Balai Polis Pengkalan Chepa, jam 5.58 petang 1 Mei lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin, manakala tertuduh pula diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Nazriani Nik Ab Rahman.

Sharifah Amirda Shasha memohon ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Namun, Nik Nazriani memohon supaya anak guamnya itu dikenakan ikat jamin minimum berikutan tertuduh adalah ibu tunggal dan perlu menyara tiga anak.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin, dan tarikh 23 Jun depan untuk sebutan semula kes.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply