Belum reda kes tragis Zara Qairina, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Sabah yang ditemui mati dengan kesan luka di tengkuk pada Julai lalu, semalam negara sekali lagi dikejutkan dengan kes tikaman pelajar di Bandar Utama.

Semalam juga, seorang pengawal keselamatan wanita bersama teman lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Negeri Sembilan atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang murid perempuan berusia sembilan tahun di sebuah sekolah di Rembau minggu lalu.

Tragedi demi tragedi kini berlaku di tempat yang sepatutnya paling selamat iaitu sekolah.
Dan setiap kali ia terjadi, persoalan sama berulang, di mana silapnya sistem kita?

Pada 2 Oktober lalu, seorang murid Tahun Empat ditemui tidak sedarkan diri di sekolah di Senawang dan disahkan meninggal dunia akibat tekanan pada leher.

Bulan sama, empat calon SPM direman selepas disyaki merogol pelajar perempuan dalam bilik darjah.
Satu demi satu kes ngeri ini membayangkan hakikat pahit, sistem pendidikan kita bukan sekadar goyah, tetapi sedang tenat.

Statistik Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merekodkan peningkatan kes buli yang membimbangkan meliputi 7,681 kes dilaporkan pada tahun lalu, berbanding 3,883 kes pada 2022 dan 6,528 kes pada 2023, menurut Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Baru-baru ini, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad, mengakui banyak isu disembunyikan “di bawah karpet.”
Pengakuan ini berani dan jujur, tetapi juga membuktikan bahawa budaya menutup kesalahan demi menjaga reputasi sudah lama berakar dalam sistem pendidikan kita.
Rakyat sudah letih dengan retorik dan jawatankuasa khas.
Setiap kali tragedi berlaku, ungkapan sama diulang:
“Akan disiasat.” “Akan diteliti.” “Akan diperbaiki.”
Namun selepas itu, tiada tindakan konkrit.
Jenayah melibatkan pelajar semakin serius daripada buli, kepada rogol, dan kini, bunuh.
Lebih memilukan, motifnya sering remeh, tetapi nyawa yang melayang tidak boleh diganti.
Cukuplah dengan mesyuarat panjang, slaid cantik dan janji manis.
Rakyat tidak perlukan lagi perbincangan kita perlukan tindakan.
Jika rotan dianggap cara lama, maka apa pendekatan baharu yang benar-benar berkesan mengekang jenayah di sekolah?
Setiap minggu, berita tentang buli, rogol, pergaduhan dan kematian terus muncul, tetapi tindak balas pihak berkuasa masih perlahan dan bersifat sementara.
Ceramah, poster dan slogan tidak akan menyelamatkan nyawa. Kesedaran tanpa tindakan hanyalah hiasan dinding sekolah yang berhabuk.
Sudah tiba masanya undang-undang dikuatkuasakan dengan tegas dan adil termasuk Akta Pendidikan, Akta Kanak-kanak, Kanun Keseksaan serta peraturan disiplin sekolah.
Atau, di wujudkan sebuah sekolah “pemulihan akhlak” di setiap negeri atau daerah, bagi pelajar-pelajar yang mempunyai rekod disiplin yang serius agar mereka ini di asingkan dari pelajar lain dan diberi perhatian sewajarnya untuk dipulihkan.
Tiada siapa wajar terlepas hanya kerana mahu menjaga imej sekolah atau jabatan. Gagal melapor kes jenayah ialah kecuaian rasmi. Buli, rogol dan keganasan pelajar bukan isu dalaman sekolah ia jenayah yang wajib disiasat dan dihukum.
Anak-anak ke sekolah untuk belajar, bukan menanggung trauma. Mereka bukan angka dalam laporan kementerian, tetapi manusia yang berhak mendapat perlindungan sebenar.
Berhenti berselindung di sebalik jawatankuasa dan janji manis, kerana setiap kelewatan, anak-anak kita sedang membayar dengan nyawa. Berhenti dengan retorik, bertindak sebelum nyawa seterusnya melayang.
Dalam pada masa yang sama, ibu bapa juga perlu proaktif, memainkan peranan penting dalam pembentukan disiplin dan akhlak anak-anak, kerana disiplin bermula dari rumah. Bukan menyerahkan 100% pada guru dan sekolah untuk selesaikan jika anak bermasalah.–THE MALAYA POST

Penulis, Nik Suryani Megat Deraman, Presiden Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia dan Ketua Pengarang The Malaya Post, kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengurusan Media di Universiti Utara Malaysia.
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply