Di Subang Jaya seorang lelaki warga emas ditemukan maut dengan kesan kecederaan pada kepala, telinga, dan belakang badan di rumahnya di Kampung Baru, Puchong semalam.
Lapor Harian Metro, kejadian itu disedari jiran mangsa selepas terhidu bau busuk dari kediaman lelaki berusia lingkungan 70-an itu.
Curiga dengan keadaan itu, jiran berkenaan membuat pemeriksaan sebelum menemukan mayat mangsa dan segera menghubungi pihak polis.
Seorang jiran yang enggan dikenali berkata, mangsa yang dikenali sebagai Wong Ah Liong tinggal seorang diri dan tidak pernah berkahwin.
“Kebiasaannya, dia akan keluar setiap pagi untuk membeli surat khabar dan bersarapan, namun sejak dua hari lalu, kelibatnya tidak kelihatan.
“Kira-kira jam 3 petang semalam, seorang jiran yang tinggal berhampiran terhidu bau busuk dari rumahnya sebelum kami menghubungi polis,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita mengenai penemuan mayat tersebut pada jam 3.04 petang.
“Hasil siasatan awal oleh pasukan forensik mendapati terdapat kecederaan pada bahagian kepala, telinga, dan belakang badan mangsa.
“Mayat telah dihantar ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian,” katanya.
Beliau turut mengesahkan bahawa kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
“Setakat ini, hanya telefon bimbit mangsa yang dilaporkan hilang, dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Kami meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Ray Erindra Raj Raja Kumaran di talian 019-6616640 atau balai polis berhampiran,” katanya.
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply