Masa depan bahasa Melayu dan peranannya sebagai bahasa ilmu akan terus terancam dan mungkin lenyap sekiranya universiti awam (UA) di negara ini terus memperlekeh serta menolak penggunaannya secara meluas.
Menurut Profesor Antropologi Sosial, Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Sarjit Singh, martabat bahasa Melayu perlu diangkat di universiti terlebih dahulu jika mahu memajukannya.
Beliau menyifatkan bahasa Melayu sekarang dalam keadaan tenat, bukan sahaja kerana diambil alih oleh bahasa Inggeris, tetapi juga kerana tumpuan kerajaan terhadap soal penarafan dan pengantarabangsaan di peringkat universiti.
“Sekiranya mahu majukan bahasa Melayu, martabatnya perlu diangkat di universiti dahulu. Jika di universiti masih lagi memperlekehkan bahasa Melayu, maka tak perlulah menyalahkan etnik lain yang tidak menggunakannya.
“Kita tidak mahu mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di universiti di negara sendiri, tetapi pada masa sama, Perdana Menteri berjuang untuk mengangkatnya di persada antarabangsa. Pada saya, ini satu kontradiksi dan cabaran besar yang perlu ditangani,” katanya.
Sarjit berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Pelestarian Kearifan Setempat: Peranan dan Cabaran Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu’ pada Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hari ini.
Berkongsi pengalamannya mengajar selama 22 tahun di universiti tempatan, beliau berkata, sepanjang tempoh berkenaan, sesi kuliah menggunakan bahasa pengantar Inggeris sepenuhnya.
“Lebih 20 tahun saya mengajar dalam bahasa Inggeris dan tidak ada kesempatan untuk gunakan bahasa Melayu disebabkan ramai pelajar (dalam kuliah) adalah dari luar negara.
“Satu lagi cabaran, tidak banyak sarjana yang menulis dalam bahasa Melayu, jadi bagaimana hendak membangunkan kearifan tempatan jika ahli akademik sendiri tidak peduli mengenainya,” katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan bahasa Melayu yang suatu masa dahulu gah di mata dunia, pupus secara perlahan-lahan jika perkara tunjang itu tidak diberi perhatian.
Sehubungan itu, Sarjit menyarankan DBP mengambil tindakan lebih tegas dengan menjalankan program audit bahasa secara agresif di UA, mengambil kira kedudukannya yang kini cukup kritikal dan bermasalah.
Selain itu, katanya, usaha mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan membina kearifan tempatan mampu diperhebat melalui usaha menterjemahkan perkataan daripada dialek tempatan di setiap negeri di Malaysia.
“Saya tidak bersetuju dengan DBP yang dari dulu ‘menginggeriskan’ bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu. Banyak perkataan bahasa Melayu asli tidak diangkat kembali yang sekali gus merencatkan proses melestarikan kearifan setempat.
“Saya cadangkan, bagi keluaran Kamus Dewan akan datang, beri perhatian kepada dialek tempatan, misalnya dalam bahasa Iban, Semai dan Kadazan untuk diangkat dalam kamus, bukan mengginggeriskan (perkataan itu),” katanya lagi.
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost
Leave a Reply