Friday, July 26, 2024
HomeBERITABahasa Melayu roh bangsa Masyarakat Malaysia Madani - GAPENA

Bahasa Melayu roh bangsa Masyarakat Malaysia Madani – GAPENA

Pembentangan Belanjawan 2024.

Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia, GAPENA mencadangkan kepada Kerajaan supaya menyediakan peruntukan yang besar dan perancangan yang menyeluruh dalam Pembangunan Bahasa Melayu di negara ini.

Menurut Presiden GAPENA, Datuk Zainal Abidin Borhan perancangan itu bagaimanapun hendaklah membabitkan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian
Perpaduan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta kementerian-kementerian
lain yang memiliki fungsi berkaitan dengan Pembangunan Bahasa Melayu.

“Perancangan Pembangunan Bahasa Melayu ini juga perlu melibatkan peranan Kementerian Luar Negeri untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu.

Oleh itu, di setiap Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia dan Kedutaan Malaysia di luar negara, Atase Pendidikan perlu proaktif mengembangkan bahasa Melayu dalam kalangan penutur asing,” katanya.

Katanya kursi Bahasa Melayu hendaklah diwujudkan di universiti-universiti ternama di
negara-negara terpilih.

“Perjuangan bahasa Melayu menghadapi cabaran yang getir semenjak Peristiwa Keranda-152, (1967), termasuk penglibatan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) dalam memperjuangkan Dasar Bahasa Kebangsaan (DBK) 1970, hinggalah ke penentangan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan Dual Language Programme (DLP) serta Unified Examination Certificate (UEC).

“Cabaran ini memperlahankan segala usaha
Pembangunan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan Perkara 152,” katanya.

Ujarnya, rakyat Malaysia wajar diingati dan diinsafi bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan merupakan isu kenegaraan dan pembinaan negara bangsa.

Ini kerana Bahasa Melayu merupakan roh bangsa yang selaras dengan hasrat untuk membina masyarakat Malaysia Madani.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments