Australia akan melanjutkan penutupan sempadan antarabangsa sekurang-kurangnya tiga bulan iaitu sehingga pertengahan Jun dalam usaha memastikan jangkitan wabak koronavirus dapat dikawal.
Menteri Kesihatan, Greg Hunt berkata pegawai kesihatan telah menasihati kerajaan bahawa “situasi COVID-19 di luar negara berisiko bagi kesihatan orang awam termasuk munculnya varian yang lebih mudah berjangkit”.
Sehubungan itu, kawalan sempadan yang ketat akan berterusan sehingga 17 Jun, katanya.
Australia menutup sempadan antarabangsa pada awal wabak itu berlaku dan menutup kemasukan orang bukan warganegara kecuali dalam keadaan khas.
Negara ini turut menghadkan jumlah warga Australia yang dibenarkan pulang setiap minggu yang menyebabkan puluhan ribu terkandas di luar negara.
Pelancong yang dibenarkan masuk dan baru tiba ke negara ini pula sudah tentu perlu menghabiskan ribuan dolar bagi menamatkan tempoh kuarantin di hotel.
Dalam pada itu, Australia dikatakan berjaya mengekang penyebaran wabak COVID-19 dengan jumlah kurang 29,000 kes dicatatkan yang populasi penduduknya kira-kira 25 juta orang. – AFP
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply