Anugerah ‘Trusted brand of the year 2020’ bukti Tabika KEMAS setaraf pusat pembelajaran prasekolah swasta

0

BANGI, 5 Nov. – Anugerah ‘Trusted Brand of The Year 2020’ bagi kategori Pusat Pembelajaran Prasekolah Pilihan Pengguna di Malaysia oleh Reader’s Digest, membuktikan TABIKA KEMAS setaraf tabika swasta.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, anugerah itu juga membuktikan tenaga pengajar dan sistem pembelajaran TABIKA KEMAS diiktiraf terbaik.

“TABIKA KEMAS sekali lagi mengulangi kegemilangannya pada tahun 2017 yang lalu setelah dianugerahkan Jenama Paling dipercayai oleh rakyat Malaysia pada tahun 2020 dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak”.

Pengiktirafan ini berdasarkan undian atas talian yang dijalankan oleh pihak Reader’s Digest kepada hampir 8,000 orang responden mengenai pandangan mereka terhadap sistem pendidikan prasekolah di Malaysia”.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Kursus Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Jabatan Kemajuan Masyarakat, KEMAS Tahun 2021 di sini hari ini.

Menurut Datuk Seri Mahdzir, aspek kualiti, inovasi, mutu dan tanggungjawab sosial, kebolehpercayaan, kredibiliti, kefahaman kehendak pengguna, menjadi kriteria yang ditetapkan oleh Reader’s Digest dalam keputusan kajiannya.

Pengiktirafan itu juga susulan pelancaran Pelan Kualiti Pendidikan Awal Kanak-Kanak KEMAS pada tahun 2018 yang menggariskan sembilan sembilan strategi utama.

Antaranya menaiktaraf premis TABIKA dan TASKA KEMAS, penambahbaikan kurikulum dan ko-kurikulum, peningkatan tahap profesionalisme guru dari aspek penggunaan Bahasa Inggeris serta meningkatkan penglibatan ibu bapa dan masyarakat dalam aktiviti pendidikan awal kanak-kanak.

“Kita telah memperuntukkan bajet sebanyak RM9.5 juta untuk baikpulih dan menaiktaraf bangunan TABIKA dan TASKA KEMAS demi untuk memberikan keselesaan kepada kanak-kanak untuk mengikuti pembelajaran.

Kerajaan sentiasa menyedari akan kepentingan pendidikan prasekolah sejak di awal usia bagi membentuk asas jati diri dan sahsiah anak-anak dalam pembangunan masa depan negara.”

Anugerah itu tambah beliau, adalah kesinambungan daripada pengenalan Program Transformasi TABIKA Berprestasi Tinggi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ketika itu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada tahun 2016.

Sementara itu, 418 pelatih berjaya menamatkan latihan dan menerima Sijil Kursus Pendidikan Awal Kanak-Kanak (SPAK) KEMAS tahun ini.

Seramai 6,693 orang Pendidik Masyarakat TABIKA KEMAS dan TASKA PERMATA KEMAS telah mengikuti kursus SPAK dari tahun 2009 hingga 2021.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply