Wednesday, June 12, 2024
HomeBERITAAntara Miskin dan Malas

Antara Miskin dan Malas

Baru-baru ini Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Dr MAZA telah meluahkan isi hatinya berkenaan penyakit malas di kalangan golangan miskin.

Terlebih dahulu, beliau memohon masyarakat agar tidak salah sangka dan menyalahertikan pendapatnya, kerana tidak dinafikan ada segelintir daripada golongan miskin ini yang rajin berusaha, cuma peluang belum muncul.

Sebagai contoh, anak-anak yang miskin disebabkan keadaan keluarga, mereka yang ditimpa bencana, kekurangan peluang dan seumpamanya.

Jelasnya, golongan miskin tapi rajin ini TIDAK termasuk dalam apa yang sedang diperbincangkan. Golongan ini jika rajin berusaha, suatu hari nanti nasib mereka boleh berubah.

Sambil memohon maaf, beliau menerangkan sesiapa yang pernah berpengalaman berurusan dengan golongan ini, akan faham apa yang ingin disampaikannya.

Dia melihat golongan ini seakan-akan selesa dengan kemiskinan yang membolehkan mereka mendapat bantuan orang lain tanpa perlu bekerja keras. Gambaran kehidupan yang miskin itu seakan mahu dijadikan identiti diri bagi membolehkan segala bantuan yang diminta diperolehi dengan mudah.

Menurut Dr Asri, di negeri Perlis, MAIPs telah membina ribuan rumah untuk golongan miskin. Bukan sedikit, berjuta-juta telah dibelanjakan.

Dari penglihatannya, ada yang berusaha kearah lebih baik, namun lebih ramai yang mengecewakan.

Mereka menerima rumah yang cantik dan teratur. Namun apabila pihaknya datang semula beberapa bulan kemudian, keadaan rumah bertukar menjadi kotor. Lalang dan rumput di keliling rumah tidak dipotong. Sampah-sarap menghiasi dalam dan luar rumah.

Manakala kerja tuan rumah hanya bersandar dan menunggu bantuan. Tubuh masih sihat, tapi fikiran pun sihat dalam memberikan pelbagai alasan.

Kediaman kita sekali pun sudah lama dan tidak mewah, jika ada kerajinan boleh saja dibersih dan dikemaskan. Bahkan boleh pula bercucuk tanam sayur-sayuran asas. Sekurang-kurang dapat jimat belanja dapur. Jika mahu, dalam pasu dan tin kosong pun boleh diusahakan tanaman. Tapi, kalau dah pemalas, kerjanya hanya tidur dan duduk saja sambil menunggu bantuan datang depan mata.

Lebih daripada itu, tempoh PKP dan PKPB sekitar 2 bulan mereka sentiasa di rumah, gagal dimanfaatkan untuk memperbaiki diri sendiri.
Demikianlah sifat malas yang sudah sebati dalam kehidupan mereka.

Ini bukan kes terpencil malahan sering sangat disaksikan. Menurut Dr Asri, hal ini bukan sahaja berlaku di Perlis, tapi di semua tempat dan negeri.

Satu perkara yang sering beliau luah dalam ucapan dan kuliahnya sejak dahulu, bahawa salah satu PUNCA utama kemiskinan ialah kemalasan. Orang utara sebut dalam bahasa pasar yang agar kasar balo’. Lebih keras lagi disebut bolo’ liat. Ertinya, pemalas yang amat. Jam 10 tatkala matahari dah terpacak di atas kepala pun belum bangun lagi.

Lebih menyedihkan, mereka bukan sahaja malas berusaha untuk kehidupan dunia, bahkan malas untuk akhirat juga. Pada wajah mereka tidak terlihat tanda dan sinar insan yang bersujud pada Tuhannya.

Jika dijemput datang untuk bantuan di masjid, mereka terpancul hanya selepas solat jamaah selesai.

Ada juga setelah menerima bantuan, diminta tunggu solat berjemaah bersama, mereka lari bersama wang diberikan.

Kalau diminta datang untuk menerima bantuan di masjid pada hari Jumaat, ada pula yang mewakilkan isteri atau anak perempuan untuk ke sana. Bolehlah si bapa ‘kabur’ dari Solat Jumaat.

Kata Dr Asri lagi, walaupun bukan semuanya begitu, namun jumlah golongan yang bersifat begini juga bukan sedikit.

Meriwayatkan hal ini memang merobek perasaan sendiri. Namun, suka atau tidak suka, masyarakat kena akur akan hakikat bahawa bukan sedikit ‘melayu yang malas’.

Kemalasan inilah yang menyebabkan ramai orang kita kerja ‘lebih-kurang’. Produk yang dihasilkan tidak berkualiti. Natijahnya, kebanyakan peniagaan orang kita tidak berdaya saing di sudut kualiti, ataupun di sudut kesungguhan kerja.

Walaubagaimanapun Dr Asri tidak menafikan ada banyak juga produk orang Melayu-Muslim yang berkualiti dan sangat bagus.

Berjihad menentang kemiskinan tidak akan berjaya jika tiada jihad menentang kemalasan.
Ia adalah tanggungjawab kita dalam beragama.

Beliau memetik Sabda Nabi s.a.w:

“Jika seseorang kamu mengambil talinya, kemudian membawa satu ikatan kayu api di atas belakangnya lalu menjualnya, dengan sebab itu ALLAH memelihara maruahnya. Maka itu lebih baik daripada dia meminta-minta kepada manusia, samada mereka memberikannya atau tidak”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Beliau faham dan bersyukur ramai umat Islam yang berharta dan suka membantu. Namun menurut pandangannya, strategi bantuan perlulah diteliti semula kerana dikhuatiri kaedah sekarang bukan berjaya menghapuskan kemiskinan, tapi meramaikan lagi golongan pemalas.

Perhatian kepada mengubah mentaliti dan sikap ‘malas’ inilah yang sepatutnya difikirkan dan inilah yang sedang diusahakan oleh
pihak MAIPs.

Dari segi kajian psikilogi dan neuroscience, mereka yang hidup dalam kemiskinan mengalami perubahan pada ‘wiring’ dalam otak yang menyebabkan executive function mereka (proses-proses kognitif yang merangkumi planning, decision making dan self regulation) bermasalah.

Disebabkan itu, mereka perlu dipantau dan diberikan kaunseling serta galakan berkala untuk jangka masa panjang bagi membantu mereka betul-betul keluar dari sifat malas dan juga kancah kemiskinan.

Walaupun beliau faham, tidak mudah untuk melaksanakan program pemantauan dan kaunseling berterusan akibat kekurangan dana, manpower dan lain-lain, namun inilah cara terbaik untuk menanganinya.

Itulah sebabnya kemiskinan perlu dibanteras dari peringkat awal. Lagi lambat mereka ditolong, lagi kuat wiring bermasalah tersebut dan semakin sukar diperbetulkan.

Tidak dilupakan juga didikan dan penerapan nilai-nilai serta ritual-ritual agama yang boleh meningkatkan disiplin.

Menghulur bantuan kewangan tanpa follow up berterusan akan menjadikan masalah ini tiada penghujungnya.

Di akhir coretan, beliau turut berkongsi sebuah doa :
Kata Anas bin Malik r.a :

“Aku mendengar Nabi s.a.w sering berdoa:
“Ya ALLAH sesungguhnya daku berlindung denganMU daripada kerisauan dan dukacita, daripada lemah dan malas, daripada kebakhilan dan kebaculan, daripada bebanan hutang dan daripada ditewaskan oleh orang”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Nukilan oleh Mufti Perlis, Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

𝐀𝐍𝐓𝐀𝐑𝐀 𝐌𝐈𝐒𝐊𝐈𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐋𝐀𝐒Hari ini, saya kembali mengiringi DYTM Raja Muda Perlis dalam kayuhan MAIPs Peduli. Disebabkan…

Dikirim oleh DrMAZA.com pada Selasa, 26 Mei 2020

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments