Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh akan hadir secara individu di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin ini bagi menyatakan sokongan moral kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Walaupun UMNO memutuskan untuk membatalkan perhimpunan solidariti atas titah Yang di-Pertuan Agong, ADUN Merlimau itu tetap berhasrat hadir seperti yang pernah dilakukan di Mahkamah Jalan Duta sebelum ini.
“Sebagai ahli UMNO, kita menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan menghormati keputusan parti untuk tidak berhimpun pada Isnin ini
“Namun, saya tetap akan hadir untuk memberikan sokongan kepada Datuk Seri Najib seperti yang dilakukan di Mahkamah Jalan Duta sebelum ini.
“Kita sama-sama berdoa supaya ALLAH permudahkan urusan dan memberikan keputusan terbaik untuk Datuk Seri Najib,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Pada Jumaat, UMNO mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan pada Isnin ini yang bertujuan menyatakan solidariti terhadap Najib berhubung isu Titah Adendum.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, parti berkenaan akur kepada segala saranan titah Seri Paduka supaya menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk menggunakan saluran perundangan ditetapkan dengan mengemukakan rayuan dalam perkara dihadapi bekas Perdana Menteri itu.
Sebelum ini, UMNO merancang mengadakan perhimpunan di pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya pada Isnin ini bagi menyatakan solidariti terhadap Najib berhubung isu Titah Adendum.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply