AirAsia kini terbang dari Kota Kinabalu Ke Kuala Terengganu

0

KUALA NERUS, 30 Januari – Syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia, AirAsia Berhad (AirAsia) mensasarkan peningkatan dalam sektor pelancongan domestik dengan pembukaan laluan baharu Kota Kinabalu – Kuala Terengganu, yang bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata penerbangan sulung yang menghubungkan Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu akan membantu merancakkan kembali industri pelancongan negeri selepas terjejas teruk akibat  pandemik Covid-19.

Katanya, inisiatif baharu itu diyakini dapat  membantu meningkatkan kemasukan tiga juta pengunjung ke Terengganu sebagaimana disasarkan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada AirAsia kerana memilih Terengganu sebagai salah satu laluan baharunya.

“Justeru itu, saya mengajak rakyat untuk mengambil peluang bercuti ke Sabah dan sebaliknya.

 

“Kami akan terus menyokong AirAsia dan berharap untuk bekerjasama pada masa hadapan bagi mempromosikan industri serta memohon AirAsia untuk menambah laluan baharu dari Kuching, Pulau Pinang termasuk mengembalikan semula penerbangan dari Senai, Johor ke Kuala Terengganu,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian di sidang media selepas menyambut penerbangan sulung AK5310 yang membawa 59 penumpang pertama yang berlepas dari Kota Kinabalu  pada jam 3.15 petang dan tiba di Kuala Terengganu pada jam 5.40 petang di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, di sini hari ini.

Katanya, sehingga kini Terengganu merekodkan sebanyak 12 penerbangan  dalam sehari, yang merupakan tertinggi pernah direkodkan selepas pandemik Covid-19.

Sementara itu, Ketua Komersial AirAsia, Nur Liyana Mahizzan berkata penerbangan antara Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu berlepas pada setiap hari Ahad dengan tambang promosi sehala serendah RM128 sahaja hingga 14 Februari ini.

Tambah beliau, selain laluan Kota Kinabalu-Kuala Terengganu, pihaknya juga telah melancarkan tiga laluan baharu dalam usaha untuk memacu pelancongan domestik.

“Laluan Kuching-Langkawi, Johor Bahru-Bintulu dan Pulau Pinang-Sibu yang diperkenalkan pada awal bulan Januari juga salah satu persediaan untuk pihak kami kembali menyediakan laluan antarabangsa,” ujarnya.

 

 

 

Leave a Reply