Anugerah Juara Lagu ke 35 (AJL35) malam tadi menyaksikan penampilan berbeza finalis yang menarik perhatian penonton, antaranya ialah pakaian digayakan oleh Aina Abdul.
Ada di kalangan netizen mempersenda pakaian yang dikenakan Aina agak sarat malah ada pula meluahkan rasa lapar apabila melihat penampilan penyanyi bersuara lantang ini seperti biskut raya Almond London!

Hmmm…Korang ni janganlah macam-macam tau. Jom kita baca perkongsian Aina bercerita tentang maksud tersirat busana berwarna hitam dan merah itu.
Menerusi platform media sosial Instagram peribadinya, Aina berkongsi inspirasi persalinan sarat hitam yang dikenakan ketika menyampaikan lagu ciptaannya berjudul Semalam.

Menurutnya, gaun tersebut sebenarnya mempunyai maksud dan mesej tersirat, seiring dengan jalan cerita yang ingin disampaikan menerusi lagu berkenaan.
Katanya, payung terjun atau parachute dipilih sebagai elemen terbesar dalam reka bentuk busana melambangkan imej daun gugur yang ditiup angin.
“Topi yang direka menjadi seperti sebuah tempat tidur seorang bayi atau kanak-kanak kecil adalah hasil interpretasi lirik “tinggal ku sendiri, ditemani jasad ini”.
“Perincian kain pleat yang membentuk satu imej bulat dibawah helaian jaket bermaksud seperti wanita ini sedang berdiri di atas daun yang terapung.
“Jaket bersiluet besar dengan perincian susunan kain pleated yang kelihatan sarat pula menggambarkan kisah penderitaan yang dialami oleh wanita itu sangat berat dan banyak sekali.
“Warna hitam melambangkan daun tersebut sudah tua, kering dan layu, simbolik kepada perkataan “SEMALAM” yang selalu dikaitkan dengan warna hitam dan gelap, selain warna merah di belakang jaket melambangkan kesan luka “SEMALAM”.
“Imej grafik calar ungu dengan penari menolak-nolak kain disesuaikan pula dengan lirik “Engkau pergi jua, tinggal ku sendiri dengan seribu calar” menggambarkan perasaan wanita yang penuh penderitaan.
Menurutnya lagi, helain bahagian dalam busana ini diinspirasikan dari pakaian tradisional Vietnam Ao Ďai atau “long tunic” melambangkan sifat seorang wanita yang feminin dan ayu. Manakala material lembut dan polos menggambarkan hati seorang wanita yang mudah rapuh dan cepat tersentuh.
Hmmmm… rasanya tak semua bait-bait kata perlu diterjemahkan dalam bentuk zahiriah. Mungkin pada masa hadapan, Aina perlu mengambil pendekatan ‘ukur baju di badan sendiri’. Paling tidak, fikirkan kebenaran pepatah ‘less is more’.
Tahniah buat Aina kerana menduduki tempat kedua dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM35,000 bersama trofi.
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply