Friday, November 20, 2026
HomeBERITAEKSKLUSIFIsu pelajar tumbuk guru: Antara viraliti, etika media dan hak kanak-kanak

Isu pelajar tumbuk guru: Antara viraliti, etika media dan hak kanak-kanak

Insiden yang memaparkan seorang pelajar Tingkatan Dua menumbuk gurunya telah mencetuskan gelombang tular di media sosial dalam sekelip mata.

Video itu bukan sahaja menarik perhatian umum, malah mengundang pelbagai reaksi daripada simpati, marah, hingga ke tuntutan hukuman keras terhadap pelajar terbabit.

Semalam, pelajar berkenaan telah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kajang atas pertuduhan mencederakan guru berkenaan.

Walaupun tindakan pelajar itu adalah satu kesalahan yang jelas dan tidak boleh diterima dalam konteks disiplin serta adab persekolahan, cara isu ini dikendalikan dalam ruang media dan media sosial menuntut renungan dan tanggungjawab bersama.

Sebagai Presiden Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia dan juga Ketua Pengarang The Malaya Post, saya terpanggil untuk menyentuh isu ini bukan sekadar dari sudut sensasi berita, tetapi dari sisi etika media, prinsip undang-undang, dan hak kanak-kanak yang kini kelihatan dipinggirkan dalam hiruk-pikuk kecaman awam.

Undang-undang bukan sekadar rujukan, ia wajib dihormati

Dalam keterujaan mengejar ‘content’ viral, ramai pihak termasuk pengguna media sosial dan sesetengah entiti media telah tersasar mendedahkan identiti penuh pelajar yang masih bawah umur. Gambar, nama, latar sekolah dan wajahnya tersebar tanpa sekatan.

Untuk rekod, Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) secara jelas melalui Seksyen 15(1) dan 15(2) melarang penyiaran sebarang maklumat yang boleh membawa kepada pengecaman kanak-kanak yang terlibat dalam mana-mana perbuatan jenayah sama ada semasa siasatan, perbicaraan mahupun selepasnya.

Peruntukan undang-undang ini menyatakan bahawa laporan media massa tidak boleh:

  • Mendedahkan nama, alamat atau institusi pendidikan;
  • Menyiarkan sebarang gambar yang boleh membawa kepada pengecaman kanak-kanak;
  • Menyampaikan sebarang butiran melalui perantara elektronik yang membawa kepada pengenalan kanak-kanak tersebut.

Pelanggaran terhadap peruntukan ini bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mendedahkan pelajar terbabit kepada stigma sosial, trauma psikologi, dan kemungkinan besar menghancurkan masa depannya sebelum sistem keadilan sempat menjalankan tugasnya secara menyeluruh.

Rakaman dirancang atau spontan? Soal motif perlu disiasat

Sebagai penerbit program TV dan drama, saya juga melihat bahawa video rakaman itu menunjukkan ciri-ciri seolah-olah ia dirakam dengan sengaja dari sudut kamera, fokus dan gerakan tampak terancang.

Ini menimbulkan persoalan penting:

Adakah pelajar itu diprovokasi dengan niat untuk merakam dan menyebarkan kesalahan?

Jika rakaman itu dibuat sebagai bahan bukti, mengapa ia tersebar luas tanpa tapisan?

Ini bukan sekadar persoalan teknikal, tetapi menyentuh asas tanggungjawab sivil dan profesionalisme media dalam mengurus bahan yang boleh memberi impak besar kepada kehidupan seseorang, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan seorang kanak-kanak.

Sebagai ibu, saya melihat isu ini bukan semata-mata melalui lensa pelaporan berita. Kita sedang berdepan dengan seorang remaja yang masih belum matang sepenuhnya, masih mencari jati diri, dan memerlukan bimbingan.

Kesalahan tetap salah, tetapi apakah hukuman media sosial dan pendedahan identiti secara terbuka itu sesuatu yang adil dan wajar?

Jika kesilapan hari ini terus menghantui remaja itu seumur hidup, maka kita sebagai masyarakat turut bersalah kerana gagal menyediakan ruang kedua, gagal memahami maksud sebenar pendidikan sahsiah, dan lebih penting, kerana memilih untuk menghukum tanpa batas.

Mendidik bukan sekadar menghukum. Ia menuntut empati, belas ihsan, dan keyakinan bahawa manusia boleh berubah jika diberikan peluang dan sokongan yang betul.

Hormati akta, atau pinda secara sah

Sekiranya masyarakat berpendapat bahawa Akta Kanak-Kanak 2001 tidak lagi sesuai dengan tuntutan semasa, maka jalannya ialah dengan meminda akta tersebut melalui proses perundangan.

Tetapi selagi ia berkuat kuasa, maka undang-undang itu wajib dihormati oleh semua pihak termasuk media, pengguna media sosial, serta warga pendidik.

Kegagalan kita mematuhi undang-undang ini bukan sahaja mencerminkan kelonggaran integriti masyarakat, tetapi mengundang kerosakan jangka panjang terhadap generasi muda yang sepatutnya dilindungi, bukan dihukum oleh tangan awam.

Nik Suryani Megat Deraman, Ketua Pengarang The Malaya Post

The Malaya Post kekal dengan prinsip kewartawanan yang adil, sahih dan beretika. Kami menolak budaya viraliti yang mengorbankan hak asasi individu, apatah lagi kanak-kanak, demi ‘clicks’ dan ‘likes’.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments