KUALA LUMPUR, 25 Mei 2025 – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan bahawa peningkatan penyertaan wanita dalam tenaga kerja bukan sahaja merupakan tuntutan keadilan sosial, malah merupakan keperluan ekonomi yang strategik.
Menurut beliau, setiap peningkatan sebanyak satu peratus dalam penyertaan wanita di pasaran kerja berpotensi menyumbang sebanyak RM2.2 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

“Statistik juga menunjukkan bahawa syarikat yang dipimpin oleh wanita menjana pendapatan 20% lebih tinggi bagi setiap pekerja. Ini membuktikan bahawa memperkasa wanita bukan hanya tindakan yang betul, tetapi juga satu keperluan ekonomi yang mendesak,” katanya dalam satu kenyataan sempena pelancaran Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN (AWES) 2025.
Sidang kemuncak tersebut dijangka menjadi platform utama dalam membentuk dasar serta kerjasama serantau ke arah memperkukuh peranan wanita dalam pembangunan ekonomi ASEAN.
Tengku Zafrul turut menyeru agar semua pihak menjadikan AWES 2025 sebagai titik perubahan yang signifikan dalam usaha memacu potensi wanita serantau.
“Pemerkasaan wanita perlu diletakkan sebagai agenda utama dalam transformasi ekonomi ASEAN, seiring dengan prinsip MADANI yang menekankan keterangkuman dan keadilan,” ujarnya.

Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN 2025 dijangka menghimpunkan pemimpin industri, pembuat dasar dan pertubuhan masyarakat awam dari seluruh rantau untuk membincangkan strategi dan inisiatif dalam meningkatkan penyertaan serta kepimpinan wanita dalam ekonomi.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply