Saturday, November 21, 2026
HomeBERITAIsu MyKiosk: MCA desak penjelasan, persoal kos dan ketelusan pelaksanaan

Isu MyKiosk: MCA desak penjelasan, persoal kos dan ketelusan pelaksanaan

KUALA LUMPUR, 25 Mei 2025 – Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, sekali lagi membangkitkan pelbagai persoalan berhubung pelaksanaan projek MyKiosk oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang diketuai oleh Menteri Nga Kor Ming.

Beliau mendakwa bahawa banyak unit MyKiosk yang dibina di bawah inisiatif tersebut tidak berfungsi, tidak disewa, dan terbengkalai di beberapa lokasi di seluruh negara, termasuk di Negeri Sembilan.

Malah, menurutnya, wujud perbezaan ketara antara kos sebenar pembinaan dan harga pasaran semasa bagi unit seumpamanya.

“Berdasarkan semakan dokumen tender bertarikh 28 Ogos 2023 yang turut didedahkan oleh pihak DAP sendiri, purata kos pembinaan setiap unit MyKiosk mencecah RM20,895.55, iaitu jauh melebihi harga siling RM15,000 yang ditetapkan oleh KPKT bagi fasa pertama. Persoalannya, ke manakah perginya lebihan RM5,895.55 bagi setiap unit?” soal Neow dalam satu kenyataan media.

Tambahnya, jika jumlah itu dikira bagi 100 atau 1,000 unit, ia melibatkan jutaan ringgit dana awam. Beliau turut menyatakan bahawa terdapat pembekal lain yang mampu membina kiosk serupa pada kos serendah RM12,800 seunit.

Neow turut membidas tindakan Nga Kor Ming yang didakwa mengarahkan pegawainya menjejaki pengguna media sosial seperti TikTokers yang menimbulkan persoalan mengenai isu ini, dan menyifatkannya sebagai satu bentuk tekanan terhadap kebebasan bersuara rakyat.

“Apabila rakyat bertanya, kenapa menteri marah? Adakah ada sesuatu yang ingin disembunyikan? Kami di MCA hanya menyuarakan kebimbangan dan menyampaikan maklumat daripada rakyat. Salahkah kami turun padang mendengar rintihan mereka dan cuba mencari penyelesaian?” tambah beliau.

Beliau memetik kenyataan Exco Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan, J. Arul Kumar, yang juga Setiausaha Organisasi DAP negeri itu, yang memberikan tempoh sebulan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengisi kekosongan unit MyKiosk di negeri tersebut.

Menurut data semasa, daripada 414 unit MyKiosk yang disediakan sepanjang 2023 dan 2024, hanya 250 unit telah diisi.

Pemuda MCA juga menyeru agar Nga Kor Ming membuat laporan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu ini, dan bukannya menjemput Ketua Pesuruhjaya SPRM ke pejabat kementerian, yang boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap kebebasan institusi tersebut.

Neow turut mengingatkan agar pemimpin DAP tidak bersikap selektif dalam soal integriti dan ketelusan, merujuk kepada kes melibatkan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok, yang dikatakan tidak melaporkan dakwaan penyelewengan oleh bekas pegawainya kepada pihak berkuasa.

“Kami tidak menolak inisiatif MyKiosk yang baik untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Tetapi pelaksanaan serta tatakelola projek ini mestilah telus dan berpaksikan kepentingan rakyat,” tegas beliau.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

 

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments