PULAU PINANG, 9 MAC – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited dalam memperkukuh hubungan antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan industri Elektrik & Elektronik (E&E) bagi memastikan Malaysia kekal sebagai hab utama semikonduktor dunia.
Dalam Dialog Menteri Pendidikan Tinggi bersama Industri Semikonduktor yang diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menekankan bahawa kerjasama erat antara sektor akademia dan industri adalah kunci utama dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri teknologi itu.
“Industri bukan sahaja memerlukan jurutera, tetapi juga tenaga kerja dengan kepakaran khusus dalam bidang teknikal bagi memenuhi standard operasi yang semakin tinggi,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan akan meningkatkan kerjasama dengan syarikat semikonduktor bagi memperkenalkan modul latihan industri, sijil profesional, dan kursus teknikal khusus. Langkah ini bertujuan untuk memastikan graduan memiliki kemahiran yang selari dengan keperluan industri serta memperkukuh daya saing Malaysia dalam sektor ini.
Malaysia Sebagai Hab Global Semikonduktor
Dialog yang dihoskan oleh USM ini menjadi platform utama bagi mendapatkan input serta cadangan daripada pemain industri mengenai keperluan upskilling dan reskilling graduan sektor E&E.
Menurut Dr. Zambry, inisiatif ini selari dengan saranan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menggesa ekosistem pendidikan dan latihan negara bersiap sedia untuk menyokong transformasi Malaysia sebagai hab semikonduktor global.
“Malaysia telah mencipta sejarah apabila menjadi antara negara yang menerajui pengeluaran semikonduktor di peringkat dunia. Oleh itu, hubungan strategik antara IPT dan industri perlu terus diperkukuh untuk menjamin kestabilan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta meningkatkan daya saing negara,” tambahnya.
Kerjasama Berimpak Tinggi untuk Modal Insan Berkemahiran
Sesi dialog ini turut dihadiri oleh beberapa pemimpin akademik dan industri, termasuk Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin dan Naib Canselor USM, Dato’ Ir. Prof. Dr. Abdul Rahman Mohamed.
Kerjasama antara KPT dan industri dijangka membuka lebih banyak peluang dalam latihan industri, program latihan profesional serta penyelidikan bersama dalam bidang semikonduktor dan teknologi tinggi.
Sesi dialog itu menjadi langkah strategik dalam merangka hala tuju modal insan negara, memastikan kestabilan tenaga kerja, dan melonjakkan daya saing Malaysia dalam sektor teknologi global.

KPT akan terus mengadakan sesi perbincangan dengan pemain industri bagi memastikan sektor pendidikan tinggi selari dengan keperluan industri masa depan.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply