Kuala Lumpur, 12 Mac – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir telah mengadakan perbincangan menerusi panggilan telefon dengan Setiausaha Pendidikan United Kingdom (UK), PYT Bridget Phillipson bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan akademik antara kedua-dua negara.
Dalam perbincangan itu, Dr. Zambry menekankan kepentingan UK-Malaysia University Consortium, yang telah dirintis sejak tahun 2022 sebagai platform utama mempererat hubungan akademik antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dan UK. Konsortium ini bertujuan meningkatkan kolaborasi strategik dalam bidang akademik, penyelidikan serta pertukaran pelajar dan tenaga akademik.
“Kami berharap dapat memperkukuh lagi hubungan antara universiti di UK dan Malaysia, merangkumi institusi pengajian tinggi awam dan swasta,” kata Dr. Zambry.
Sehingga kini, seramai 13,005 pelajar Malaysia sedang melanjutkan pengajian di UK, manakala 220 pelajar dari UK sedang menuntut di Malaysia, mencerminkan tahap pertukaran akademik yang aktif antara kedua-dua negara.
Dalam perbualan itu juga, Bridget Phillipson telah menjemput Dr. Zambry untuk menghadiri Education World Forum (EWF) yang akan berlangsung di UK pada Mei ini.
Forum itu bakal menjadi medan perbincangan lanjut bagi meneroka peluang baharu dalam bidang pendidikan tinggi, termasuk memperluaskan inisiatif penyelidikan bersama serta meningkatkan mobiliti akademik.
Menurut Dr. Zambry, kehadiran Malaysia dalam forum tersebut amat penting bagi memastikan kerjasama pendidikan dengan UK terus berkembang seiring dengan keperluan global.
Kerjasama erat antara Malaysia dan UK dalam bidang pendidikan tinggi dijangka memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara, terutama dalam aspek pemindahan ilmu, pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi, serta peningkatan daya saing institusi pengajian tinggi.
Pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus menggiatkan inisiatif bagi memajukan sektor pendidikan tinggi negara, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI dan usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply