KUALA LUMPUR, 14 Jan – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menasihatkan penduduk di kawasan berisiko banjir agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga. Beliau menekankan kepentingan mematuhi arahan pihak berkuasa untuk memastikan keselamatan semua pihak.
“Utamakan keselamatan dan sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa tempatan jika berlaku sebarang kecemasan,” ujar Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara.
Beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil risiko yang boleh membahayakan nyawa, terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.
Menurut laporan terkini, beberapa negeri telah terjejas akibat banjir, dengan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) semakin meningkat.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid memaklumkan bahawa sehingga jam 6 pagi tadi, Pahang menjadi negeri terbaharu yang terjejas akibat banjir.
Beliau turut menasihatkan penduduk di kawasan terjejas untuk menyimpan dokumen penting di tempat yang selamat dan mudah diakses, mematikan peralatan elektrik dengan segera bagi mengelakkan sebarang risiko bahaya, dan sentiasa memantau kawasan berisiko untuk keselamatan bersama.

“Saya memahami betapa sukarnya keadaan ini, terutama bagi mereka yang terpaksa meninggalkan rumah dan harta benda. Namun, keselamatan harus menjadi keutamaan,” tambahnya.
Ahmad Zahid juga menyeru orang ramai untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai situasi banjir melalui portal rasmi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di https://portalbencana.nadma.gov.my/ms/laporan dan aplikasi myCuaca untuk maklumat cuaca yang sahih dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Beliau turut mengingatkan agar tidak menyebarkan berita yang tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan serta panik dalam kalangan masyarakat.
“Marilah kita bersama-sama berdoa agar situasi ini segera pulih dan semua mangsa banjir diberi kekuatan untuk mengharungi ujian ini. Dengan semangat kerjasama dan sokongan daripada semua pihak, saya yakin kita mampu mengatasi cabaran ini bersama-sama,” katanya.
Kerajaan melalui pelbagai agensi komited untuk terus berusaha memberikan bantuan secepat mungkin kepada mereka yang memerlukan.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply