Abu Dhabi, UAE – Lawatan kerja Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Kadir, ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan UAE, khususnya dalam sektor pendidikan tinggi dan pembangunan mampan.
Pertemuan penting antara delegasi Malaysia yang diketuai oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan wakil-wakil utama UAE seperti Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Masdar membuka peluang kerjasama strategik dalam pelbagai bidang utama.
“Hubungan diplomatik antara Malaysia dan UAE kini dipertingkatkan ke tahap komprehensif, merangkumi kerjasama akademik, penyelidikan, dan inovasi. Malaysia akan meneruskan Memorandum Persefahaman (MoU) pendidikan yang telah terjalin dan berakhir pada Jun 2024 lalu. MoU baharu kini sedang diperhalusi untuk ditandatangani tahun ini,” jelas Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Kadir ketika dihubungi Ketua Pengarang The Malaya Post.
Pengiktirafan akademik dan perkongsian penyelidikan
Antara aspek penting yang dibincangkan dalam lawatan ini adalah usaha mempercepatkan pengiktirafan universiti dan ijazah keluaran Malaysia oleh UAE dan sebaliknya.
Ini bertujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan tempatan di peringkat antarabangsa serta memperkukuh reputasi institusi pengajian tinggi Malaysia.
“Kita berharap langkah ini dapat mempercepatkan pembangunan bakat tempatan melalui pertukaran pengetahuan dan kepakaran akademik,” kata beliau kepada The Malaya Post.
Beliau turut menegaskan keperluan meneroka bidang penyelidikan baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan kajian kelestarian (sustainable studies).
UAE, yang terkenal dengan kepakaran dalam teknologi canggih dan pembangunan lestari, berpotensi menjadi rakan strategik yang ideal bagi memperhebat penyelidikan di universiti tempatan.
“Malaysia mempunyai kekuatan dari segi tenaga penyelidikan. Jika disokong dengan teknologi dan kepakaran UAE, kita boleh menghasilkan penyelesaian inovatif dalam bidang tenaga hijau dan teknologi mampan,” tambah beliau.
Menerajui ekonomi hijau
Selain kerjasama akademik, pembangunan ekonomi hijau menjadi agenda utama dalam perbincangan.
Menyedari potensi besar sektor ini, Malaysia komited untuk memperkukuh usaha ke arah mencapai neutral karbon menjelang 2050.
“Kerjasama ini akan membuka ruang kepada pelajar dan penyelidik kita untuk mendalami teknologi hijau, sekali gus melahirkan lebih ramai pakar tempatan dalam bidang ini,” jelas Menteri Pendidikan Tinggi.
Beliau menekankan bahawa langkah ini selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi peneraju dalam teknologi hijau di rantau ASEAN.

Program pertukaran pelajar dan pensyarah
Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry turut mengesahkan kepada The Malaya Post bahawa program pertukaran pelajar dan pensyarah antara universiti Malaysia dan UAE akan diteruskan, khususnya dalam bidang teknologi hijau, kejuruteraan, dan sains data.
“Program ini penting untuk mempercepatkan pembangunan bakat tempatan dengan mendedahkan mereka kepada teknologi dan pendekatan pembelajaran maju di UAE. Ia akan memberi impak besar kepada keupayaan kita dalam membangun tenaga pakar yang kompeten,” ujarnya.
Menjulang masa depan pendidikan dan teknologi Malaysia
Lawatan kerja itu memberi petanda jelas tentang komitmen Malaysia dalam menjalin kerjasama antarabangsa demi memperkukuh pendidikan tinggi dan teknologi.

Dengan jalinan kerjasama strategik bersama UAE, masa depan sektor pendidikan Malaysia dilihat semakin cerah, menjanjikan lebih banyak peluang kepada pelajar dan penyelidik tempatan.
“Keberhasilan lawatan ini adalah hasil kerjasama erat pelbagai pihak. Kita akan terus membawa pulang manfaat kepada rakyat Malaysia, terutamanya dalam bidang pendidikan dan pembangunan lestari,” kata Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry.
Terdahulu, delegasi YAB Perdana Menteri telah mengadakan mesyuarat dengan Pengarah Urusan ADIA, Sheikh Hamed Zayed Al Nahyan, bagi meneroka kerjasama strategik dalam pelaburan jangka panjang.
Selain itu, pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif MASDAR, Mohamed Jameel Al Ramahi, membincangkan peluang kerjasama dalam pembangunan tenaga hijau di Malaysia, selaras dengan inisiatif Net Zero UAE 2050.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply