Thursday, November 19, 2026
HomeBERITAAnak 'Ganu' tempa nama di Hollywood

Anak ‘Ganu’ tempa nama di Hollywood

Berbekalkan pengalaman lebih tiga dekad dalam industri pembuatan kostum hiburan, nama Akma Suriati Awang bukanlah asing dalam kalangan pemain industri seni tanah air.

Kehebatannya dalam menghasilkan kostum bukan sahaja diiktiraf di peringkat tempatan, malah turut menembusi pasaran antarabangsa, termasuk Hollywood.

Memetik laporan Harian Metro, anak kelahiran Hulu Terengganu ini bukan sekadar menghasilkan kostum untuk filem tempatan, bahkan turut terlibat dalam enam produksi filem antarabangsa.

Antara filem luar negara yang pernah menggunakan khidmatnya termasuk Marco Polo, Anna and The King, Entrapment, dan Bar Sinister.

Bermula sebagai graduan Institut Teknologi Mara (ITM), kini Universiti Teknologi Mara (UiTM), pada 1990, Akma tidak pernah menyangka akan terjun ke bidang ini.

Meskipun bercita-cita menjadi pelukis, peluang bertemu pensyarah yang berpengalaman dalam pembuatan kostum di Amerika Syarikat membuka laluan baharu dalam hidupnya.

Dedikasi dan Ketelitian Kunci Kejayaan

“Sejak mula terlibat dalam industri, saya nekad membuka syarikat sendiri yang menumpukan kepada rekaan kostum hiburan. Membuat kostum bukan sekadar menjahit, tetapi memerlukan kajian mendalam,” jelas Akma.

Sepanjang kerjayanya, beliau telah menghasilkan kostum untuk lebih 40 filem dan 50 teater tempatan. Antara anugerah yang pernah diraih termasuk Pereka Kostum Terbaik Festival Filem Malaysia menerusi filem Hanyut, Pemenang Kostum Terbaik Festival Filem Turki untuk filem Showtime, dan Pereka Kostum Terbaik Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang.

Akma turut berkongsi bahawa proses menghasilkan kostum memerlukan masa dan dedikasi tinggi. “Ada kostum yang mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan.

Sebagai contoh, kostum filem Hanyut memakan masa sepuluh tahun untuk dikaji dan dihasilkan sebelum penggambaran bermula,” katanya.

Pengalaman berharga di pentas antarabangsa

Menurut Akma, bekerja dengan produksi luar negara memberikan pengalaman berharga yang mengajar tentang ketelitian dan dedikasi tinggi.

Beliau pernah memegang pelbagai jawatan seperti pembantu pereka kostum, pereka kostum, ketua penyelia jabatan kostum, dan pengurus latar belakang kostum.

“Produksi antarabangsa sangat mementingkan jabatan kostum kerana ia memberi impak besar terhadap naratif sesebuah filem. Mereka menjalankan kajian terperinci bagi memastikan kostum yang dihasilkan benar-benar sesuai dengan jalan cerita,” tambahnya.

Komitmen melahirkan karya berkualiti

Sebagai pereka kostum, Akma menegaskan bahawa setiap kostum yang dihasilkan perlu memberi kesan kepada penonton dan menyokong penceritaan.

Oleh itu, beliau sentiasa memastikan dirinya dan pasukan bekerja dengan teliti dan penuh komitmen.

“Saya selalu menasihatkan pasukan supaya mengutamakan ketelitian dalam bekerja. Ketelitian adalah kunci utama kepada kualiti kostum yang akan memberi kesan besar kepada filem, teater, atau iklan yang dihasilkan,” ujarnya menutup bicara.

Dengan dedikasi yang tidak pernah pudar, Akma Suriati terus mengharumkan nama negara sebagai antara pereka kostum terbaik yang berjaya mencipta nama di persada antarabangsa.

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments