Saturday, November 21, 2026
HomeBERITAPoliteknik Ungku Omar lakar sejarah baharu dengan pembukaan kampus cawangan di Bercham

Politeknik Ungku Omar lakar sejarah baharu dengan pembukaan kampus cawangan di Bercham

BERCHAM, 13 Jan – Dalam usaha memperkasakan agenda pendidikan tinggi dan memperluas akses kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkualiti tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah melakar satu lagi sejarah penting apabila Kampus Cawangan Politeknik Ungku Omar (PUO) di Bercham secara rasminya diserahkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada KPT dan JPPKK.

Majlis penyerahan rasmi itu disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abdul Kadir, yang turut menyaksikan peralihan pengurusan kampus kepada pihak JPPKK dan PUO.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pembukaan kampus baharu ini adalah bukti komitmen kerajaan terhadap pembangunan TVET negara.

“Penubuhan kampus cawangan PUO ini bukan sekadar menambah kapasiti pendidikan, tetapi juga menyediakan ruang pembelajaran yang lebih kondusif dengan teknologi terkini serta elemen kelestarian. Ini selari dengan aspirasi Dasar TVET Negara 2030 dan Pelan Transformasi Politeknik 2023-2035,” ujar beliau.

Projek pembangunan kampus cawangan baharu ini, yang menelan kos sebanyak RM27.1 juta, dimulakan pada tahun 2018 dan siap sepenuhnya pada 28 Disember 2024.

Kampus yang dibina dengan visi menjadi hab pendidikan TVET mampan ini dijangka menampung seramai 1,200 pelajar bagi lima program utama, iaitu Diploma Perakaunan, Diploma Pengajian Perniagaan, Diploma Kewangan, Diploma Kewangan Islam, dan Diploma Pengurusan Peruncitan.

Kemasukan pelajar akan dilakukan secara berperingkat, bermula Februari 2025 dan dijangka selesai sepenuhnya pada Ogos 2025.

Ruang pembelajaran berteknologi tinggi

Mengambil kira keperluan pendidikan masa depan, kampus ini dilengkapi dengan enam bilik ‘Technology-enabled Collaborative Classroom’ (TeCC) yang menyokong penggunaan teknologi Realiti Maya (VR).

Kemudahan ini bakal memberikan pengalaman pembelajaran interaktif dan inovatif, membolehkan pelajar merasai suasana dunia sebenar dalam simulasi yang lebih realistik.

Selain itu, terdapat juga Ruang Simulasi Bank yang diinspirasikan daripada konsep bank sebenar, bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai operasi institusi kewangan dalam persekitaran yang hampir sama dengan dunia pekerjaan.

Capaian internet di seluruh kampus turut disediakan bagi memastikan pelajar dan tenaga pengajar dapat menikmati pembelajaran digital yang lancar.

Inisiatif hijau dan TVET mampan

Selari dengan aspirasi Dasar TVET Negara 2030 dan Pelan Transformasi Politeknik 2023-2035, kampus ini menitikberatkan elemen kelestarian dengan memperkenalkan ciri-ciri Kampus Hijau seperti penggunaan lampu penjimatan tenaga serta sistem Pengumpulan Air Hujan yang inovatif.

Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan kesan alam sekitar, tetapi juga mendidik pelajar mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar dalam setiap aspek kehidupan.

Meningkatkan kompetensi dan menyumbang kepada ekonomi negara

Sebagai salah satu Politeknik Premier, PUO terus komited dalam meningkatkan kualiti pendidikan melalui penubuhan kampus baharu ini yang turut memberi fokus kepada pembangunan kompetensi pensyarah serta penyelidikan, inovasi, dan pengkomersialan.

Diharapkan, kampus ini mampu melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi, inovatif, dan bersedia menyumbang kepada pembangunan ekonomi mampan negara.

“Kerajaan akan terus memberikan sokongan kepada inisiatif seperti ini kerana TVET adalah pemacu utama dalam memperkasa ekonomi negara. Graduan TVET yang dilahirkan harus mampu bersaing bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga global,” tambah Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry.

Dengan wujudnya kampus baharu ini, PUO dijangka akan terus menjadi peneraju dalam pendidikan TVET di Malaysia, sejajar dengan visi Malaysia Madani untuk membangunkan masyarakat berilmu dan berdaya saing di peringkat global.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments