ABU DHABI, UAE, 13 Jan – Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, menyertai delegasi rasmi YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dalam lawatan kerja ke Abu Dhabi sempena Minggu Kemampanan Abu Dhabi (Abu Dhabi Sustainability Week, ADSW) 2025.
Lawatan ini bertujuan mengukuhkan hubungan diplomatik dan membuka peluang kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, khususnya pendidikan tinggi dan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama pada ADSW 2025, menekankan komitmen Malaysia terhadap pembangunan mampan serta inovasi dalam sektor tenaga hijau.
Dalam masa yang sama, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry akan mengadakan perbincangan dengan beberapa rakan sejawat dari negara-negara lain untuk merintis kerjasama pendidikan tinggi berasaskan teknologi dan AI.
Untuk rekod, UAE yang diiktiraf sebagai salah satu negara terawal mengintegrasikan AI dalam sistem pendidikannya, menjadi rakan strategik yang berpotensi bagi Malaysia.
Menurut Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry, kementerian berhasrat untuk menjalin kerjasama dalam penyelidikan bersama, pertukaran pelajar, serta pembangunan kurikulum berteknologi tinggi.
“Kami melihat potensi besar dalam kerjasama ini, terutamanya dalam memperkasakan pendidikan tinggi Malaysia untuk menghadapi cabaran era digital. Usaha ini selaras dengan agenda Malaysia MADANI, yang memberi tumpuan kepada pendidikan berkualiti dan inovasi,” ujar beliau.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama ini akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau.
Katanya, selain membincangkan kerjasama akademik, kementerian turut memberi fokus kepada menarik pelaburan asing dalam sektor pendidikan tinggi negara.
Langkah ini dijangka dapat mempercepatkan transformasi digital dan memperkasakan institusi pendidikan tinggi Malaysia dengan infrastruktur serta teknologi terkini.
Jelas beliau, lawatan rasmi ini diharap akan menghasilkan pelbagai inisiatif baharu yang mampu memperkukuh sektor pendidikan dan teknologi di Malaysia, sekali gus meningkatkan daya saing negara di peringkat global.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply