Penduduk Kampung Rawa, George Town, dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki dipercayai gelandangan di dalam Sungai Pinang pada tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad, memaklumkan bahawa pihak polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan mayat itu sekitar jam 1.30 tengah hari.
“Mangsa berusia 72 tahun dan dipercayai merupakan seorang gelandangan yang sering dilihat di kawasan berhampiran lokasi kejadian. Hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang terlibat dalam kes ini,” ujar beliau ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Menurut Abdul Rozak, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian.
Setakat ini, polis masih meneruskan siasatan bagi melengkapkan laporan rasmi. Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini diminta tampil membantu siasatan.
Penemuan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan yang sering melihat mangsa di kawasan tersebut sebelum kejadian.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost


Leave a Reply