Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bersedia untuk bertembung dengan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Lapor portal PNBCC, Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata BERSATU tiada cara lain untuk mengelak pertembungan itu memandangkan UMNO sudah membuat keputusan untuk tidak mahu bekerjasama dengan BERSATU sebagai gabungan Perikatan Nasional (PN) pada PRU-15.
“Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Perhimpunan Agung UMNO sudah buat keputusan bahawa mereka tidak akan bekerjasama dengan BERSATU. Secara asasnya mereka akan berlawan dengan kita (pada PRU-15).
“Bersatu sudah ada pendirian, kalau UMNO tidak mengubah keputusan itu, kalau kita terpaksa bertembung dalam PRU-15, kita tiada cara lain untuk mengelakkannya. Itulah realiti politik,” katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama barisan pemimpin BERSATU di Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.
Apa pun, Tan Sri Muhyiddin berkata BERSATU mempunyai strategi dan cara tersendiri untuk mendekati rakyat berdasarkan pengalaman yang dimiliki.
Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sekali lagi mengumumkan bahawa UMNO mempertahankan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang parti itu menangi pada pilihan raya umum yang lalu.
Dalam perkongsian di Facebooknya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, keputusan itu seperti yang diputuskan secara sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tahun lalu.–THE MALAYA POST
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply