Zoo Negara kini dalam perancangan mewujudkan ‘zoo maya’ agar pencinta haiwan di seluruh dunia boleh melihat spesis disitu menerusi konsep berkenaan.
Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly@Rahmat Ahmat Lana berkata, konsep itu dilihat signifikan dengan keadaan semasa negara yang masih dilanda COVID-19.
“Sejak COVID-19, Zoo Negara hanya dapat beroperasi beberapa kali dalam tempoh singkat sebelum diarahkan tutup oleh kerajaan bagi mengelak penularan.
“Jadi menerusi konsep ‘zoo maya’ ini, orang ramai boleh melihat haiwan menerusi platform maya tanpa perlu datang ke Zoo Negara.
Menurutnya lagi, demi meneruskan kelangsungan operasi, konsep ini dilihat mampu menjadi platform terbaru untuk memastikan Zoo Negara terus wujud hasil kutipan bayaran dari sekadar bergantung sepenuhnya kepada pengunjung.
“Konsep ini dilihat mampu menjana pendapatan baharu kepada Zoo Negara agar tidak terus terkesan jika tidak dapat beroperasi.
Walaubagaimanapun, beliau berkata konsep ini masih lagi diperhalusi dengan beberapa syarikat akan mengemukakan kertas kerja untuk dinilai dari segi kos dan keberkesanannya.
Untuk rekod operasi, dana yang dimiliki Zoo Negara kini semakin menyusut dan hanya mampu bertahan sehingga awal Mei ini.
Katanya, sumbangan orang ramai masih diterima namun diharap ia boleh ditingkatkan kerana kos operasi bulanan mencecah RM1 juta.
“Setakat ini dana yang ada masih dapat menampung operasi lebih 4,000 haiwan dan membayar gaji pekerja selain bayaran lain.
“Diharap sekiranya ada pihak yang mahu menyalurkan bantuan dana boleh berhubung terus dengan Zoo Negara,” katanya.
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply