Perdana Menteri dijadualkan ke negeri Johor dalam rangka lawatan rasmi ke negeri-negeri sejak dilantik sebagai Perdana Menteri 1 Mac lalu.
Jadual yang bermula semalam dimulakan dengan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah di Istana Bukit Serene, sejurus mendarat di Pangkalan Udara Senai.

Program disusuli dengan sesi perjumpaan dan townhall Perdana Menteri bersama penjawat awam negeri di Johor Bahru.

Sesi yang memberi peluang kepada Perdana Menteri berkongsi aspirasi kerajaan kepada kakitangan awam selaku kumpulan pelaksana dan katalis yang menggerakkan dasar serta perancangan negeri mahupun negara dan dalam masa sama beliau turut menzahirkan harapan agar penjawat awam melakukan anjakan dalam suasana norma baharu dengan mengurangkan birokrasi bagi membantu usaha memulihkan ekonomi negara.
Di majlis yang sama, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan hasrat beberapa pakar dari luar negara untuk membantu Malaysia memajukan bidang ICT di dalam negara dan rantau, antaranya syarikat Google, Amazon dan Microsoft.
Perdana Menteri kemudiannya menyertai golongan belia pada majlis sambutan Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor.
Ini merupakan kali pertama acara tahunan yang dianjurkan kerajaan bagi mengiktiraf sumbangan dan peranan pertubuhan belia dalam pembangunan golongan itu di negara ini diadakan di luar kawasan Lembah Klang.
Perdana Menteri merakamkan penghargaan kerajaan terhadap peranan yang dimainkan belia ketika negara berdepan penularan COVID-19 yang mana sebahagian besar petugas barisan hadapan adalah terdiri daripada golongan belia.

Beliau juga memuji langkah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mewujudkan Anugerah Wira Tidak Didendang atau Unsung Heroes, khusus bagi menghargai sumbangan anak muda yang menjadi barisan hadapan sepanjang pandemik COVID-19.


Program rasmi hari pertama Perdana Menteri diakhiri dengan melakukan tinjauan (walkabout) di B5 Johor Street Market, iaitu pusat pelancongan runcit yang mempromosikan aktiviti seni dan kebudayaan.
Ketika sesi tinjauan, Perdana Menteri melihat sendiri aktiviti keusahawan penduduk tempatan berlangsung selain mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi peniaga susulan penularan wabak COVID-19.
Hari ini, Perdana Menteri dijadualkan melawat kawasan pembangunan pelancongan Desaru Coast serta mendengar taklimat mengenai pembangunan kawasan terbabit.
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply