Saturday, November 21, 2026
HomeBERITAYang di-Pertuan Agong zahir takziah pemergian sasterawan Malim Ghozali PK

Yang di-Pertuan Agong zahir takziah pemergian sasterawan Malim Ghozali PK

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah lbni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga tokoh sasterawan negara, Dr Mohamed Ghazali Abdul Rashid, 71, atau nama penanya Malim Ghozali PK, yang telah pulang ke rahmatullah semalam.

Baginda turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap agar keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu ini.

Al-Sultan Abdullah turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

“Bukan sedikit jasa yang telah disumbangkan Allahyarham kepada negara. Menurut rekod, beliau adalah penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) pada tahun 2013 dan pernah dinobatkan sebagai Sasterawan Perak pada tahun 2014.

“Allahyarham bukan sahaja mendapat pengiktirafan di tanah air, tetapi turut dikenali di peringkat antarabangsa. Ini termasuklah karyanya Tree of Sorrow tersenarai antara 160 novel terbaik dunia oleh International IMPAC Dublin Literary Awards.

“Allahyarham juga pernah memenangi Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) Kumpulan Cerpen,” titah baginda.

Menyingkap perjalanan karya sasterawan ini, Allahyarham berpengalaman mendeklamasikan puisi di Prague, Republik Czech serta memberi syarahan di Hannibal, Amerika Syarikat dan Paris, Perancis.

Karya-karya Allahyarham telah memenangi banyak anugerah besar termasuklah beberapa kali Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan tiga kali untuk kategori utama dan pelbagai anugerah seni dari negeri Perak.

Sebanyak 22 buku hasil nukilan Allahyarham juga diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa termasuklah Bahasa Inggeris dan juga Bahasa Cina.

Segala jasa, khidmat serta bakti Allahyarham kepada dunia penulisan sastera Melayu negara amat dihargai dan sesungguhnya pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar pada negara.

Segala karya peninggalannya pastinya menjadi rujukan buat generasi muda dan tersimpan sebagai khazanah negara yang sangat berharga.

Al-Fatihah buat Allahyarham.

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

19 Jun 2020 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah…

Posted by Istana Negara on Thursday, 18 June 2020

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments