Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan, semua jenis perniagaan menghadapi pelbagai cabaran malah penutupan ekonomi selama dua bulan telah menyebabkan banyak perniagaan menghadapi masalah aliran tunai termasuk membayar gaji pekerja dan membayar kos sewaan premis.
Memetik pengumuman khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu sidang media Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) sebentar tadi, setelah ekonomi dibuka semula, pihak kerajaan telah menerima maklumbalas daripada sektor perniagaan mengenai pengurangan permintaan daripada pelanggan serta ketidakupayaan peniaga menggunakan teknologi digital bagi menjana jualan atas talian.
“Sehubungan itu, pihak kerajaan akan membantu setiap perniagaan, sama ada besar atau kecil, menerusi beberapa langkah dalam usaha mendorong perusahaan mikro dan PKS beralih kepada khidmat digital atau atas talian.
“Kerajaan bersama sektor swasta akan membiayai usaha tersebut melalui geran padanan sebanyak RM140 juta.
“Peruntukan ini akan digunakan untuk sesi latihan, subsidi penjual dan bantuan penjualan.
“Inisiatif ini akan diterajui oleh MDEC bersama platform e-dagang yang terpilih,”ujar beliau.
Disamping itu, pihak kerajaan juga akan jalin kerjasama dengan syarikat swasta menjalankan kempen ‘Shop Malaysia Online’ bagi menggalakkan rakyat berbelanja secara atas talian dimana kod promosi dan pelbagai baucar diskaun akan diberi melalui platform e-dagang.
Sebagai permulaan, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM70 juta dan dipadankan dengan jumlah yang sama melalui platform e-dagang.
Bagi sektor PKS dan syarikat di peringkat pertengahan atau ‘mid-tier companies’, kerajaan akan meneruskan pemberian geran dan pinjaman berjumlah RM700 juta membolehkan lebih banyak syarikat melanggan atau menggunakan perkhidmatan digitalisasi.
Ini termasuk, antaranya :
1) RM100 juta Geran Padanan Digital PKS yang akan disediakan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi
2) RM500 juta di bawah Dana Transformasi Teknologi PKS sebagai pinjaman mudah
3) RM100 juta Geran Automasi Pintar, di mana setiap syarikat yang layak akan menerima geran sehingga RM1 juta.
Beliau berkata dalam usaha membantu kelangsungan PKS yang terlibat dalam sektor kepentingan yang disasarkan, sektor perbankan akan menawarkan dana tambahan sebanyak RM2 bilion melalui Skim Pembiayaan PKS PENJANA.
Pembiayaan ini boleh dipohon mulai pertengahan Jun 2020 dengan had sehingga RM500 ribu bagi setiap PKS.
* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply