Memetik pengumuman khas Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) sebentar tadi, beliau juga menyentuh mengenai rancangan merancakkan semula pasaran hartanah.
Oleh itu beliau telah mengumumkan beberapa insentif cukai yang akan disediakan antaranya adalah Kempen Pemilikan Rumah yang akan diperkenalkan semula.
“Melalui kempen ini, pengecualian duti setem akan diberikan ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah kediaman yang bernilai antara RM300,000 hingga RM2.5 juta.
“Pengecualian duti setem ke atas suratcara pindah milik adalah terhad kepada RM1 juta pertama nilai rumah kediaman manakala duti setem sepenuhnya diberikan ke atas perjanjian pinjaman,” ujar beliau.
Pengecualian ini akan berkuatkuasa bagi perjanjian jual beli yang ditandatangani mulai 1 Jun 2020 hingga 31 Mei 2021 tertakluk kepada syarat pemberian diskaun sekurang-kurangnya 10% oleh pihak pemaju.
Manakala yang kedua, Pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah akan diberikan kepada individu warganegara Malaysia ke atas pelupusan rumah kediaman yang dibuat mulai 1 Jun 2020 sehingga 31 Disember 2021.
Pengecualian ini turut dihadkan bagi pelupusan tiga unit rumah kediaman sahaja untuk setiap individu.
Selain itu, had pembiayaan bagi pinjaman rumah ketiga dan seterusnya bernilai RM600 ribu ke atas tidak lagi tertakluk kepada 70% daripada nilai rumah semasa tempoh program Kempen Pemilihan Rumah, namun tertakluk kepada pengurusan risiko dalaman institusi kewangan.
* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply