Friday, May 31, 2024
HomeBERITAIsu sekolah vernakular : GPMS dan MAPPIM secara bersama failkan writ saman...

Isu sekolah vernakular : GPMS dan MAPPIM secara bersama failkan writ saman cabar keabsahan sekolah vernakular di Mahkamah Tinggi KL

Berikutan saman terhadap Menteri Pendidikan dan kerajaan Malaysia bagi mengisytiharkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil sebagai bercanggah serta tidak sah disisi perlembagaan persekutuan, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) telah secara bersama memfailkan Writ Saman dan Penyata Tuntutan di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur.

Peguam Buzze Azam ditemubual semasa siaran Bicara “Without Fear or Favour” di The Malaya Post

Menurut peguam Buzze Aman, peguamcara Tetuan Amelda Fuad Abi & Aidil saman tersebut menamakan Menteri Pendidikan dan kerajaan Malaysia sebagai defendan dan difailkan bagi mendapatkan pengisytiharan oleh mahkamah bahawa kewujudan sekolah-sekolah jenis kebangsaa Cina dan Tamil adalah bercanggah dengan kedudukan bahasa kebangsaan di bawah Fasal 152(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Pemfailan saman ini adalah susulan dari keputusan Mahkamah Persekutuan pada 11.11.2019 yang telah menolak permohonan seorang peguam, Mohd Khairul Azam bin Abdul Aziz, bagi mencabar keabsahan kewujudan Sekolah-Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil di Malaysia, kerana menurut Mahkamah Persekutuan, permohonan tersebut sepatutnya difailkan di Mahkamah Tinggi, dan bukan di Mahkamah Persekutuan.

“Atas keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut, kedua-dua GPMS dan MAPPIM telah mengambil inisiatif bagi memfailakan tindakan di Mahkamah Tinggi, supaya persoalan penting tentang keabsahan kewujudan sekolah-sekolah aliran vernakular adalah sah atau tidak di sisi Perlembagaan Persekutuan dapat diputuskan oleh Mahkamah Tinggi,” ujarnya

Beliau turut menyatakan perkara yang dipohon oleh GPMS dan MAPPIM adalah untuk perintah-perintah antara lainnya adalah seperti ;

(a) suatu pengisytiharan bahawa seksyen 2, 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), setakat mana peruntukan-peruntukan itu membenarkan penubuhan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil yang menjalankan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar masing-masing, adalah bercanggah dengan Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan dan oleh yang demikian adalah tidak sah dan terbatal setakat percanggahan itu;

(b) suatu pengisytiharan bahawa kewujudan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil telah secara lanjutannya, turut menyebabkan satu keadaan yang bercanggah dengan Perkara 5 (hak terhadap kehidupan yang bermaruah), perkara 8 (hak kesaksamaan), perkara 10 (hak berekspresi), Perkara 11 (kebebasan beragama), dan perkara 12 (hak terhadap pendidikan);

(c) suatu perintah bahawa Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia hendaklah mengambil segala langkah yang perlu bagi memastikan bahawa kewujudan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil yang sedia ada di Malaysia hendaklah diselarikan dengan peruntukan Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan, dalam tempoh enam (6) tahun daripada tarikh Mahkamah memberikan penghakiman.

Tetuan Amelda Fuad Abi dan Aidil turut memberitahu, GPMS dan MAPPIM telah mengarahkan melantik peguam kanan iaitu Mohamed Haniff Khatri Abdulla sebagai kaunsel utama bagi mewakili MAPPIM dan GPMS ketika perbicaraan kes ini di mahkamah akan datang.

“Kami juga telah diarahkan untuk menegaskan bahawa kedua-dua GPMS dan MAPPIM menyokong segala usaha peningkatan penguasaan bahasa ketiga, sama ada bahasa Mandarin, Tamil, Arab, Kadazan, atau mana-mana sahaja bahasa lain di dunia termasuk Jepun, Korea, dan lain-lain melalui pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa tersebut sebagai satu mata pelajaran, tetapi menolak mana-mana bahasa asing tersebut daripada dijadikan bahasa pengantar utama di mana-mana institusi pendidikan awam yang menerima dana awam, kerana hal tersebut akan bercanggah dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang mesti digunakan untuk semua tujuan rasmi,” tambahnya.

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments