Tuesday, July 16, 2024
HomeBERITA4374 warga Malaysia masih terkandas di 56 buah negara

4374 warga Malaysia masih terkandas di 56 buah negara

Demi membendung penularan wabak COVID-19, beberapa buah negara telah mengambil langkah membatalkan dan mengadakan sekatan keluar masuk penerbangan.

Susulan dari tindakan ini, terdapat rakyat warganegara Malaysia yang terkandas dan masih berada di luar negara.

Mereka yang kebetulan ada di luar negara bagi tujuan kerja, urusan keluarga, bercuti atau atas apa-apa sebab seperti itu mempunyai tiket penerbangan pulang ke Malaysia.

Namun penerbangan mereka telah dibatalkan dan tiada alternatif untuk kembali ke tanah air disebabkan oleh sekatan perjalanan yang telah berkuatkuasa demi mengekang penularan wabak COVID-19.

Memetik kenyataan media, Timbalan Menteri Luar Negeri, Dato’ Kamarudin Jaafar memberi keterangan tentang perkembangan terkini warganegara kita yang masih terkandas di luar negara.

Menurutnya, Wisma Putra dengan kerjasama erat pelbagai agensi termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kewangan Malaysia dan semua Perwakilan Malaysia di luar negara terus giat melaksanakan usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang masih terkandas.

Beliau berkata, kira-kira 3,201 rakyat Malaysia terkandas di luar negara telah berjaya dibawa pulang melalui misi repatriasi yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan, sumbangan parti politik seperti Malaysian Indian Congress (MIC) dan pihak swasta seperti T7 Global Berhad dan
Weststar Aviation Services.

“Manakala, seramai 4,374 orang rakyat Malaysia dilaporkan masih terkandas di 56 buah negara.

“Paling ramai ialah di India membabitkan seramai 2,156 orang dan jumlah mereka yang terkandas di India ini dijangka berkurang apabila lebih ramai dapat dibawa pulang menggunakan 11 lagi penerbangan sewa khas,” ujar beliau.

Menurutnya, seramai 179 rakyat Malaysia terkandas di Amritsar, India telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin, 30 Mac jam 10.50 malam.

“Sebanyak 144 warganegara Malaysia telah pun tiba pada petang tadi, melalui pesawat khas Malaysia Airlines MH 741.

“Meskipun Kerajaan Myanmar secara amnya telah membatalkan semua kemasukan penerbangan komersial ke negara tersebut berkuat kuasa 30 Mac 2020, Kedutaan Malaysia di Yangon dengan kerjasama Malaysia Airlines telah berkolaborasi dengan kerajaan Myanmar untuk memberi kebenaran khas penerbangan pesawat dari Malaysia. Kedutaan Malaysia di Yangon akan terus komited dan bekerja keras bagi memastikan kebenaran khas yang sama dapat diberikan pada masa akan datang bagi memastikan warganegara Malaysia di Myanmar dapat pulang ke Malaysia dengan segera.

“Lain-lain negara yang turut merekodkan jumlah rakyat Malaysia terkandas yang agak tinggi ialah – Indonesia (680 orang), Australia (226 orang), New Zealand (153 orang), Thailand (337 orang), Arab Saudi (121 orang), Pakistan (128 orang), Filipina (54 orang), Sri Lanka (50 orang) dan Emiriah Arab Bersatu (43 orang),” katanya.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia di luar negara yang berhasrat pulang supaya menguruskan penerbangan komersial secepat mungkin sebelum syarikat-syarikat penerbangan menggantung operasi mereka atau penggantungan penerbangan dikuatkuasakan kerajaan di sana.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan laporan sebuah portal menyatakan 18 orang warga Malaysia yang terkandas di Bolivia mengesahkan Kedutaan Besar Malaysia di Lima, Peru yang ditauliahkan serentak ke Bolivia telahpun berhubung dengan kumpulan rakyat Malaysia terbabit dan memberi bantuan konsular sewajarnya.

Memandangkan kerajaan Bolivia telah mengisytiharkan “lockdown” dan menangguhkan sebilangan besar penerbangan, pihak Kedutaan Malaysia sedang meneliti alternatif bagi membantu 18 orang rakyat Malaysia yang terkandas ini.

Sementara itu, merujuk kepada isu melibatkan pelajar Malaysia di luar negara, Wisma Putra melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara sentiasa berhubung dengan Education Malaysia (EM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta wakil-wakil komuniti pelajar Malaysia di luar negara bagi mendapatkan perkembangan terbaru seterusnya memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan para pelajar yang terkandas ini diberi perhatian sewajarnya.

“Buat masa ini, pihak JPA menerusi satu kenyataan pada 29 Mac 2020, telah memaklumkan bahawa kesemua pelajar tajaan JPA di luar negara, dinasihatkan untuk kekal berada di negara pengajian masing-masing.

“Para pelajar juga diingatkan supaya bertenang, tidak panik, menjaga kesihatan diri dan mematuhi segala arahan universiti, pihak berkuasa tempatan serta berhubung rapat dengan kedutaan Malaysia.

“Begitu juga dengan MARA; menerusi satu kenyataan pada 28 Mac 2020, pihak MARA telah memaklumkan, bagi negara-negara yang tidak menyarankan pelajar asing untuk pulang ke negara masing-masing.

“MARA meminta supaya pelajar mereka terus kekal di negara pengajian. Pertimbangan ini dibuat selepas menilai risiko semasa pergerakan dan penerbangan serta menilai isu-isu logistik berkaitan secara mendalam,” tambahnya.

Beliau turut menyentuh satu kenyataan dari pihak Universiti Sains Malaysia (USM) pada 25 Mac melapotkan para pelajar yang menuntut di USM KLE International Medical Programme, Belgaum, India juga disarankan untuk kekal di kampus.

“Pihak USM-KLE serta Perwakilan Malaysia di sana telah dan akan terus menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada para pelajar.

“Keselamatan dan kesihatan mereka turut diberi keutamaan sepanjang tempoh yang sukar ini.

“Malah, pihak USM-KLE juga sentiasa berhubung dengan ibu bapa pelajar bagi memaklumkan perkembangan semasa anak masing-masing,” katanya.

Beliau menjelaskan timbul pelaporan yang mendakwa kononnya pihak Wisma Putra menyerahkan sepenuhnya kepada pihak lain untuk membantu memudahcara urusan kepulangan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara dan beliau menegaskan bahawa sokongan yang
diterima adalah menerusi pembiayaan kos penerbangan sahaja.

Manakala rundingan dengan kerajaan asing sentiasa dilakukan oleh pihak Wisma Putra secara rasmi melalui saluran diplomatik.

Beliau turut berpendapat usaha membantu rakyat Malaysia yang terkandas ini merentasi politik dan ini bermakna semua pihak digalakkan untuk membantu kerajaan Malaysia.

“Di waktu yang sukar ini, seharusnya semua pihak saling berganding bahu
dan bekerjasama.

“Usaha membantu rakyat Malaysia yang terkandas adalah antara peranan utama Wisma Putra. Jadi Wisma Putra akan terus memainkan peranan ini dengan sebaik mungkin walau apa jua cabaran yang terpaksa dilalui. Namun, sekiranya ada pihak yang ingin membantu, Wisma Putra amat mengalu-alukannya.

“Sebagai contoh, Dato’ S. Prakadeesh Kumar, CEO of Plus Max Group telah menyatakan kesediaan untuk membiayai kos penerbangan sewa khas bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Nepal.

“Begitu juga dengan Malaysia Airlines. Semalam, mereka telah umumkan untuk menyambung semula beberapa penerbangan antarabangsa antara April dan Mei bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara. Usaha sama seperti inilah yang seharusnya dijadikan contoh oleh semua pihak,” ujar beliau.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments