Selaras perkenan Yang di-Pertuan Agong berkenaan kebenaran solat jemaah di masjid dan surau-surau terpilih mengikut SOP yang ditetapkan dan kelmarin merupakan hari pertama bermulanya pelaksanaan solat Jumaat diadakan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Mesyuarat Khas Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan telah bersetuju membenarkan pelaksanaan Solat Jumaat, Solat berjemaah, Solat Sunat Tarawih serta Solat Sunat Aidilfitri di masjid dan surau diadakan di zon hijau Wilayah Persekutuan sahaja.
Sehubungan itu, dilaporkan 25 masjid dan 30 buah surau di Wilayah Persekutuan telah melaksanakan Solat Jumaat kelmarin.
“Secara keseluruhannya, hampir kesemua masjid dan surau mematuhi SOP yang ditetapkan seperti menghadkan bilangan jemaah dan tidak melebihi 30 orang.
“Yang kedua, kawalan kendiri seperti pemakaian topeng muka dan penggunaan ‘hand sanitizer’ serta penjarakan sosial di dalam masjid juga dipraktikan dengan baik.
“Selain itu, proses saringan suhu badan dan maklumat pendaftaran kehadiran juga diambil dan direkod,” ujar Dato’ Seri Ismail Sabri pada sidang media petang ini.
Sementara itu, beliau juga turut mengingatkan kepada para pengamal media supaya sentiasa mematuhi SOP penjarakan sosial ketika sedang membuat liputan atau laporan berita di masjid.
Berbicara lanjut, beliau berkata bagi memastikan pematuhan terhadap SOP oleh semua pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan RELA akan ditempatkan di setiap lokasi masjid dan surau terpilih untuk membuat pemantauan dan mengawasi keadaan.
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

Leave a Reply