Thursday, November 19, 2026
HomeBERITA𝗕𝗶𝗹𝗮 𝗣𝗼𝗹𝗶𝘁𝗶𝗸 𝗠𝗲𝗻𝗴𝘂𝗯𝗮𝗵 𝟭 + 𝟭: 𝗔𝗻𝘁𝗮𝗿𝗮 𝗦𝗶𝗻𝗲𝗿𝗴𝗶 𝗗𝗮𝗻 𝗗𝗮𝗺𝗱𝗮𝗱𝗶

𝗕𝗶𝗹𝗮 𝗣𝗼𝗹𝗶𝘁𝗶𝗸 𝗠𝗲𝗻𝗴𝘂𝗯𝗮𝗵 𝟭 + 𝟭: 𝗔𝗻𝘁𝗮𝗿𝗮 𝗦𝗶𝗻𝗲𝗿𝗴𝗶 𝗗𝗮𝗻 𝗗𝗮𝗺𝗱𝗮𝗱𝗶

Dalam politik, ada satu perkara pelik yang sering kita terima tanpa banyak soal: apabila logik paling asas pun boleh diputar atas nama strategi. 1 + 1 dikatakan tidak lagi menjadi 2, sebaliknya boleh berubah mengikut keperluan naratif dan kepentingan kuasa. Persoalannya, bilakah penyimpangan ini benar-benar berasas, dan bilakah ia sekadar alasan kosong?

Dalam logik dan matematik, 1 + 1 tetap 2. Ia bukan isu tafsiran, tetapi asas pemikiran rasional yang telah lama membentuk cara manusia berfikir dan membuat keputusan. Logik berfungsi sebagai pagar tanpanya, keputusan mudah hanyut ke arah emosi, persepsi dan kepentingan sempit.

Namun dalam dunia politik dan masyarakat, keadaan tak selalu lurus macam kira-kira. Dalam jurnal “Synergy and Self-Organization in Political Systems” (1996), Paul A. Corning menjelaskan bahawa sistem politik mempunyai unsur sinergi, iaitu apabila gabungan manusia, institusi dan kepentingan menghasilkan kesan yang lebih besar atau berbeza daripada jangkaan asal. Contohnya, kerjasama antara institusi yang sebelum ini bergerak secara silo boleh mempercepat penyampaian perkhidmatan awam apabila visi dan tadbir urusnya selari. Dalam konteks ini, ungkapan “1 + 1 bukan 2” masih mempunyai asas yang munasabah.

Pandangan ini selari dengan pendekatan psikologi sosial yang dibincangkan dalam jurnal “Frontiers in Group Dynamics” (1947) oleh Kurt Lewin. Lewin menegaskan bahawa keputusan sesuatu kumpulan tidak boleh dinilai dengan melihat individu secara terasing. Faktor persekitaran, persepsi awam, tekanan sosial dan hubungan kuasa membentuk tingkah laku kolektif. Teori Gestalt yang mendasari pemikiran ini melihat keseluruhan sebagai lebih bermakna daripada sekadar jumlah bahagian-bahagiannya.

Namun perlu ada garis yang jelas. Tidak semua keadaan menghalalkan “1 + 1 bukan 2”. Apabila ungkapan ini digunakan tanpa prinsip, tanpa hujah yang jujur dan tanpa manfaat nyata kepada rakyat, ia bukan lagi sinergi. Ia hanyalah damdadi politik, retorik yang bunyinya pintar, tetapi kosong isinya.

Masalah menjadi lebih serius apabila frasa “ini politik” dijadikan lesen untuk melanggar prinsip. Politik sepatutnya tentang amanah dan khidmat, bukannya ruang untuk menormalkan keputusan yang rapuh dari segi moral dan logik. Apabila segala tindakan boleh dimaafkan atas nama strategi, kepercayaan awam mula terhakis.

Dalam realiti politik moden, disiplin diri, ketahanan mental, kesihatan fizikal, serta kefahaman isu semasa dan asas undang-undang bukan lagi kelebihan, ia keperluan. Lebih penting daripada semua itu ialah sikap rendah hati. Jawatan dan pangkat tidak menjadikan seseorang lebih besar daripada amanah yang dipikulnya.

Hakikatnya, rakyat tidak terlalu peduli dengan perdebatan teori atau permainan naratif. Mereka hanya mahu jawapan kepada dua soalan yang mudah tetapi mendasar: Apa yang telah dibuat, dan apa yang mereka peroleh. Jika sinergi yang dicanang tidak diterjemahkan kepada hasil yang dirasai, ia akan dilihat sebagai helah semata-mata.

Seperti yang diingatkan George Orwell, “Politics without principle is the art of obtaining power without conscience.” Politik tanpa prinsip mungkin berkesan dalam jangka pendek, tetapi akhirnya ia akan menuntut harga yang mahal, hilangnya kepercayaan rakyat.

1 + 1 boleh menjadi lebih daripada 2. Tetapi hanya jika ia dibina atas prinsip, bukan damdadi.–THE MALAYA POST

Nik Suryani Megat Deraman

Penulis, Nik Suryani Megat Deraman, Presiden Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia dan Ketua Pengarang The Malaya Post, kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengurusan Media di Universiti Utara Malaysia.

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments