Wednesday, May 22, 2024
HomeBERITASeri Paduka Baginda kunci kestabilan politik negara

Seri Paduka Baginda kunci kestabilan politik negara

Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, peranan Yang di-Pertuan Agong adalah meluas tetapi masih tertakluk kepada perlembagaan.

Perlembagaan telah menyatakan dengan jelas bahawa kuasa Eksekutif, secara teorinya di bawah kuasa ketua kerajaan, dilaksanakan oleh (atau dengan nasihat) Kabinet atau Jemaah Menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri.

Walau bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong memiliki kuasa untuk memilih siapa sahaja untuk dilantik sebagai Perdana Menteri dan tidak terikat pada kehendak Perdana Menteri yang sebelum itu sekiranya tiada parti yang memenangi undi majoriti. Yang di-Pertuan Agong, bagaimanapun tidak mempunyai hak dan kuasa untuk menyingkirkan Perdana Menteri.

Yang di-Pertuan Agong juga  boleh menolak atau menangguhkan permohonan untuk membubarkan parlimen.

Atas kuasa ini, baginda boleh membubarkan atau menggantung Parlimen tetapi hanya boleh membubarkan Parlimen atas nasihat Perdana Menteri.

Malah, baginda juga boleh menolak undang-undang baru atau pindaan undang-undang sedia ada tetapi sekiranya tidak membuat keputusan, ia secara automatik menjadi undang-undang selepas 30 hari dari pembentangan awalnya.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari 2019 berikutan Sultan Muhammad V dari Kelantan menuruni takhta pemerintahan pada 6 Januari 2019.

Terkenal sebagai “raja rakyat”, rakyat Malaysia bertuah kerana mempunyai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang begitu mesra dan tidak kekok apabila turun padang bertemu rakyat jelata.

Keperibadian tinggi Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri amat disanjungi rakyat ditambah dengan gelagat-gelagat yang bersahaja, spontan dan mencuit hati senantiasa mencuri perhatian lensa kamera jurugambar media serta rakyat.

Jika ingin berbicara lanjut tentang sultan kesayangan ramai ini, terlalu banyak perkara yang boleh dikongsi.

Kebijakan baginda Al Sultan Abdullah menyantuni rakyat terserlah dan rata-rata menyifatkan keperibadian murni dan merendah diri ini diwarisi daripada ayahanda baginda, Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar.

Dalam santun terselit tegas baginda terutama dalam menangani beberapa isu penting melibatkan agama, pertelingkahan pendapat berkenaan perkara-perkara sensitif antara kaum dan bangsa serta tindakan melulu sesetengah pihak melangkaui batasan dalam sempadan perlembagaan.

Baginda pernah bertitah dan menyentuh berkenaan situasi politik negara dengan menasihati bahawa politik juga perlu ada batasan kerana perpaduan yang dibina sekian lama tidak mungkin dapat dikembalikan jika ia hilang dalam kemelut politik negara.

Al Sultan Abdullah percaya dalam agenda politik, mesti ada noktah dan batasan yang tidak harus dilanggar dan jika polemik politik dibiarkan berlarutan, lambat-laun rakyat juga yang akan menerima padahnya.

Baginda turut menyeru agar kerajaan yang memerintah meneruskan usaha menguruskan negara dan perlu sentiasa berusaha dalam menangani isu kos sara hidup bagi membasmi masalah kemiskinan yang boleh membawa kepada permasalahan sosial juga akhlak serta membantu golongan yang memerlukan.

Begitu mendalam dan teliti pemerhatian baginda Al Sultan Abdullah terhadap pemerintahan serta pentadbiran negara agar keperluan rakyat sentiasa menjadi keutamaan pemimpin.

Awal minggu ini, negara dikejutkan dengan kemelut politik dan pengumuman mengejut pentadbir nombor satu negara, Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengutus surat perletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tepat jam 1.00 tenga hari kelmarin (24 Februari 2020).

Tak lama kemudian, beliau turut mengumumkan meletak jawatan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Surat berkenaan dihantar ke ibu pejabat parti hari ini, menurut satu kenyataan Pejabat Pengerusi Bersatu.

Pada petang kelmarin juga (24 Februari 2020) baginda melalui perutusan yang diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Dato’ Seri Mohd Zuki Ali berkenan menerima perletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Baginda Al Sultan Abdullah juga turut perkenan melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Interim sementara yang akan menguruskan pentadbiran negara sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu selaras dengan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Dan hari ini (25 Februari 2020) baginda bertitah supaya semua pihak dan rakyat secara menyeluruh agar bersabar serta memberi masa kepada baginda untuk menyelesaikan masalah yang melanda negara pada ketika ini juga menjalani tanggungjawab sebagai Ketua Negara dengan penuh tertib juga etika.

Dilaporkan juga Ahli Parlimen akan dipanggil untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara dan bagaimanapun, tidak mengikut parti dengan pertemuan secara bersemuka itu dilakukan secara rawak mengikut kebijaksanaan baginda.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, menjelaskan proses temu bual itu akan dilakukan sendiri Yang di-Pertuan Agong dan disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Dato’ Seri Mohd Zuki Ali serta proses ini selaras dengan Perkara 43 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Dikhabarkan juga setiap Ahli Parlimen diperuntukkan antara dua hingga tiga minit untuk menyatakan pandangan masing-masing, sepanjang proses temu bual berlangsung.

Apabila berbicara tentang baginda Al Sultan Pahang, tidak sah jika tiada  tindakan spontan dalam mendekati rakyat.

Sudah pasti akan ada momen menarik raja juara rakyat sinonim dengan sifat merendah diri dalam menyantuni rakyat.

Rentetan peristiwa ini para petugas media telah mula berkampung di sekitar Istana Negara bagi mendapat maklumat dan info terkini perkembangan peristiwa penting yang sedang berlaku dalam negara.

Perkongsian petugas media dari penyiaran Al-Hijrah, telah tular foto yang memaparkan pihak istana menjamu KFC kepada semua petugas media yang berkampung di perkarangan Istana Negara sejak pagi berhubung isu pembentukan kerajaan baharu dan perkembangan penting yang dijangka berlaku.

Hari ini, sekali lagi Al Sultan Abdullah menjamu makanan kepada para petugas media dan baginda telah mencemar duli mengagihkan makanan kepada sekumpulan pengamal media.

Begitu prihatin dan terkenal dengan sikap serta sifat merendah diri kerana sering bersama rakyat, Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah pastinya menjadi raja kesayangan para rakyat Malaysia secara seluruhnya.

Ketika rakyat mula kebingungan dan keliru dengan peristiwa mengejut melanda negara, kini baginda dengan penuh rasa tanggungjawab melaksanakan tugas sebagai Ketua Negara seperti yang termaktub di dalam perlembagaan.

Bertindak dengan penuh hemah, baginda Al Sultan Abdullah dilihat begitu komited dan berhati-hati dengan setiap keputusan yang dilakukan agar keadilan tetap menjadi keutamaan demi kelangsungan dan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia.

Untuk rekod, Sultan Abdullah telah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Januari 2019 seterusnya dengan pemasyhuran Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-16 pada 31 Januari 2019.

Daulat Tuanku!

Jangan pernah bersenda gurau.
Rakyat tidak perlu diberi alasan ekstra untuk pemimpin bersungut tentang masalah dalaman sesebuah keluarga parti!

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments